ANA (AKU) & ZARAH

Badiuzzaman Said Nursi (r.h)
Mukadimah
Sebahagian kalimah ke-30, kalimah ini membongkar

teka-teki alam, menjadi tangkal alam,
serta menyelesaikan salah satu rahsia agung

al-Qur'an al-Hakim.

Satu huruf daripada kitab ‘ana’ yang maha besar

Satu noktah daripada lautan isarah yang agung

Kalimah ini mengandungi dua tujuan.

Pertama: membahaskan hakikat dan natijah 'ana'.
Kedua: membincangkan gerakan dan tugas-tugas zarah.

Tujuan Pertama
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Firman Allah (s.w.t):
Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah mengemukakan tanggung-jawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana mereka tiada persediaan untuk memikulnya) ; dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan. "(Al-Ahzab 33:72)

Kami hanya akan mengisyaratkan satu permata sahaja daripada permata-permata khazanah terbesar daripada ayat yang mulia di atas. Permata tersebut ialah bahawa amanah yang enggan dipiku! oleh langit, bumi dan gunung-ganang mempunyai beberapa pengertian dan banyak sudut. Salah satu pengertian dan sudut tersebut ialah perkataan 'ana' yang bermaksud ‘saya’

Ya! Perkataan 'ana' merupakan satu biji benih, yang menumbuhkan sepohon pokok Tuba, (Lihat al-Qur'an, al-Ra'd 13. 29.) pokok yang bercahaya, lagi besar. la juga menumbuhkan sepohon zaqum yang menggerunkan. Kedua-dua pohon tersebut menghulur dan menyebarkan dahan serta rantingnya ke seluruh alam insani semenjak dari Adam (a.s) sehingga waktu kini.
Sebelum kita mengharungi hakikat yang luas ini, kami akan membawa satu mukadimah yang akan memudahkan kita memahami hakikat tersebut.

Mukadimah
Perkataan 'ana' ialah anak kunci yang akan membuka khazanah tersembunyi bagi nama-nama Allah yang baik (al-asma' al-husna), sebagaimana ia juga akan membuka pintu-pintu alam yang terkunci. la sendiri merupakan tangkal yang ajaib dan misteri yang ganjil. Tetapi dengan mengetahui apakah hakikat 'ana', tangkal yang ajaib dan misteri yang ganjil tersebut akan terungkai dan terdedah, seterusnya akan terbukalah teka-teki dan khazanah alam yang wajib ada ini.
Secara khusus kami telah membincangkan permasalahan ini di dalam risalah "satu hiduan daripada bayu hidayat al-Qur'an" (Shammah min nasim hidayat al-Qur 'ari) sebagaimana berikut:

"Ketahuilah! Bahawa anak kunci alam berada di dalam tangan manusia dan pada dirinya sendiri. Meskipun segala makhluk yang ada merupa-kan pintu-pintu pada zahirnya, namun pada hakikatnya ia terkunci. Allah (s.w.t) meletakkan anak kunci pintu-pintu tersebut pada diri manusia sebagai barang amanah yang membolehkannya membuka kesemua pintu tersebut. Anak-anak kunci itu juga diletakkan oleh Allah pada manusia sebagai tangkal yang membolehkannya membuka khazanah-khazanah Pencipta alam ini yang tersembunyi. Anak kunci-nya ialah hakikat perkataan 'ana' yang terdapat pada engkau (wahai manusia). Tetapi perkataan 'ana' itu sendiri juga menjadi suatu misteri dan tangkal yang terkunci. Apabila anda berjaya membuka 'ana' dengan mengetahui hakikatnya yang dapat dibayangkan dan rahsia kejadiannya, nescaya akan terbukalah tangkal segala makhluk yang lain, sebagaimana yang akan diterangkan selepas ini:

Sesungguh Allah (a.w.j) telah meletakkan satu amanah pada tangan manusia, iaitu 'ana' yang mengandungi beberapa isyarat, dan contoh yang boleh dijadikan panduan untuk mengetahui beberapa hakikat sifat rububiyah Allah dan hal ehwal-Nya yang mulia lagi suci. Atau dengan kata-kata lain, 'ana' menjadi satu unit sukatan atau ukuran untuk mengetahui sifat-sifat dan hal ehwal rububiyah dan uluhiyah Allah (s.w.t).

Sebagaimana yang dimaklumi, sesuatu unit sukatan atau ukuran tidak semestinya wujud dari segi hakikat. Bahkan mungkin sesuatu unit sukatan dan ukuran itu ditetapkan berdasarkan andaian dan khayalan semata-mata, sebagaimana gagasan-gagasan yang diandaikan dalam ilmu kejuruteraan. Maksudnya 'ana' tidak semestinya mempunyai kewujudan yang hakiki, iaitu diketahui dan dipastikan.
 Soalan: Kenapakah makrifat kepada sifat-sifat dan nama-nama Allah berhubung dengan 'keakuan' (ananiyah) (Yang dimaksudkan di sini bukanlah sifat keakuan yang tercela itu, tetapi perkataan ini diambil daripada perkataan 'ana' yang bermaksud saya atau aku.) manusia?
Jawapan: Sesuatu yang mutlak dan meliputi segala sesuatu, tidak mempunyai batas sempadan dan penamatan. la tidak boleh diberikan suatu bentuk dan hukum tertentu, kerana ia tidak mempunyai kewujudan sesuatu bentuk yang menentukan bentuk gambarannya. Oleh itu, hakikatnya tidak boleh dimengerti.
Sebagai contoh: Cahaya yang wujud secara berpanjangan dan terus-menerus, tidak diselangi oleh kegelapan, tidak dapat dirasai dan diketahui kewujudannya, melainkan apabila dibatasi dengan kegelapan, sama ada yang berbentuk hakiki atau pada anggapan sahaja.

Demikianlah juga keadaannya dengan sifat-sifat Allah (s.w.t) seperti ilmu dan kudrat, dan nama-nama-Nya yang baik (al-asma' al-husna) seperti Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Mengasihani, kerana ia adalah mutlak, tidak mempunyai batas sempadan dan meliputi segala sesuatu. Tiada sekutu dan sebanding dengannya. la tidak mungkin diliputi atau dibatasi dengan sesuatu. Oleh itu, hakikatnya tidak boleh diketahui dan tidak dirasakan kewujudannya. Kerana itu, mestilah diletakkan suatu anggaran atau anggapan sempadan yang dikhayalkan kewujudannya kepada sifat-sifat dan nama-nama yang mutlak tersebut, untuk menjadi alat bagi memahaminya. Inilah apa yang dilakukan oleh 'keakuan', kerana seseorang akan menggambarkan di dalam dirinya sifat rububiyah (ketuhanan), malikiyah (pemilikan), kudrat dan ilmu lalu diberikannya sempadan tertentu yang dianggarkan kewujudannya bagi sifat-sifat yang menyeluruh dan nama-nama yang mutlak, lalu - sebagai contohnya - dia akan berkata: "Dari sekian tempat ke sekian tempat, kawasanku dan yang selepasnya kembali kepada sifat-sifat tersebut." Seolah-olah dia meletakkan sejenis pembahagian. Dengan itu dia bersedia untuk memahami hakikat sifat-sifat yang tidak bersempadan itu, sedikit demi sedikit, berdasarkan neraca dan ukuran kecil lagi mudah yang dimilikinya.

Sebagai contoh juga, dengan rububiyah yang difantasikan kewujudan-nya berada di bawah kekuasaannya terhadap benda-benda miliknya, dia memahami rububiyah Tuhan Yang Maha Mencipta secara mutlak yang meliputi seluruh benda yang wujud.

Dengan sifat pemilikannya yang zahir, dia memahami sifat pemilikan Pencipta yang hakiki, lalu dia berkata: "Sebagaimana aku pemilik rumah ini, maka Allah (s.w.t) juga pemilik kepada alam ini."

Dengan ilmunya yang sedikit, dia mengetahui ilmu Allah yang mutlak.
Dengan sedikit kemahirannya yang diperolehi melalui pengalaman dan latihan, dia mengetahui keindahan ciptaan Tuhan Yang Maha Mencipta, lalu dia berkata: "Sebagaimana aku dapat menghias dan menyusun atur rumah ini, begitu juga mesti ada orang yang mencipta dan menyusun atur dunia ini."
Demikianlah seterusnya. Terangkum di dalam perkataan 'ana' ribuan hal, sifat dan perasaan yang tersembunyi di bawahnya ribuan rahsia yang terkunci dan sedikit banyak mampu untuk menunjuk dan men-jelaskan kesemua sifat dan hal Allah yang bijaksana itu.

Perkataan 'ana' tidak mengandungi apa-apa makna pada dirinya, tetapi ia menunjukkan sesuatu makna yang ada pada benda lain, seperti cermin yang membalikkan bayangan, seperti unit sukatan atau ukuran tertentu, seperti sejenis alat yang membongkarkan sesuatu. Secara katawi maknanya ialah bahawa ia merupakan seurat rambut yang sensitif dan pada tali kewujudan manusia yang hebat. la menjadi benang halus dan pada tenunan pakaian hakikat kemanusiaan. la merupakan huruf alif yang terdapat pada kitab keperibadian anak-anak Adam, kerana huruf itu mempunyai dua sudut:

Satu sudut tertuju ke arah kebaikan dan kewujudan. Melalui sudut ini, dia (manusia) hanya menerima limpahan yang dituangkan ke atasnya sahaja, kerana dari sudut ini dia tidak mampu untuk mengadakan sesuatu. Jadi dia bukan seorang 'pembuat', kerana tangannya tidak mampu dan tidak mempunyai kekuatan untuk mengadakan.

Satu sudut lagi tertuju ke arah kejahatan dan membawa kepada 'ketiadaan'. Dari sudut ini, dia menjadi 'pembuat' dan tuan punya perbuatan itu.
Seterusnya hakikat 'ana' itu hartiah, iaitu ia hanya menunjukkan makna yang terdapat pada benda lain (bukan pada dirinya). Maka rububiyah-nya merupakan suatu yang khayali, kewujudannya lemah sehingga zatnya sendiri tidak mampu untuk menanggung apa-apa, bahkan tidak mampu untuk ditanggung apa-apa ke atasnya. la hanyalah neraca penimbang, yang menerangkan tentang sifat-sifat Allah Taala yang mutlak dan meliputi segala sesuatu, persis seperti neraca kepanasan, neraca udara dan neraca-neraca lain yang menerang dan menjelaskan tentang sukatan, ukuran dan darjah sesuatu benda yang disukat.

Seseorang yang memahami hakikat 'ana' melalui sudut ini dan tunduk kepadanya, kemudian dia beramal berdasarkan tuntutannya, dia ter-masuk di kalangan orang yang diberikan berita baik, melalui firman Allah:
Maksudnya: "Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia'bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)."

(Al-Shams 91:9)


Dia juga telah menunaikan amanah dengan sebenar. Melalui kaca mata 'ana', dia memahami hakikat alam kewujudan dan tugas-tugas yang dilaksanakan olehnya. Ketika jiwanya memperolehi apa-apa maklumat dari pelbagai ufuk luaran, akan ada sesuatu daripada 'ana' yang membenarkannya, lalu maklumat-maklumat tersebut tertanam di dalam jiwanya sebagai ilmu-ilmu yang bercahaya dan hikmat kebijaksanaan yang benar. la tidak bertukar menjadi kegelapan yang sia-sia.

Ketika 'ana' melaksanakan tugasnya dalam bentuk ini, dia akan me-ninggalkan rububiyah dan pemilikannya yang diandaikan kewujudan-nya itu - yang hanya merupakan unit ukuran atau sukatan sahaja - lalu dia menyerahkan pemilikan hanya untuk Allah sahaja dengan dia berkata: "Bagi-Nya kerajaan (pemilikan), bagi-Nya kepujian, bagi-Nya hukuman dan kepada-Nya kamu dikembalikan." Dengan itu dia telah memakai pakaian ubudiyah yang sebenar dan dia telah meningkat kepada satu maqam yang lebih baik.

Tetapi jika 'ana' itu lupa kepada hikmat penciptaannya, lalu melihat kepada dirinya dengan makna namanya sahaja, dengan meninggalkan tugasnya yang fitri itu, dengan mengiktikadkan bahawa dia itu pemilik, maka dia sebenarnya telah mengkhianati amanah dan termasuk ke dalam golongan orang yang telah diberikan amaran oleh Allah melalui frman-Nya:

Maksudnya: "Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). "(Al-Shams 91:9)

Demikianlah. Sesungguhnya ketakutan langit, bumi dan gunung-ganang untuk memikul amanah dan kegerunan mereka terhadap syirik yang diandaikan berlaku, terbit dahpada sudut 'keakuan' ini yang melahirkan segala jenis kesyirikan, kejahatan dan kesesatan.

Ya! Sesungguhnya 'ana', sekalipun hanya memiliki huruf alif yang lembut, benang yang halus dan garisan yang diandaikan kewujudannya, tetapi jika hakikatnya tidak diketahui, ia akan membesar secara ter-sembunyi - umpama biji benih yang membesar di dalam tanah - sedikit demi sedikit, sehingga tersebar di seluruh kewujudan manusia, lalu menelannya (kemanusiaan) umpama seekor ular yang besar. Lalu seluruh manusia itu, dengan semua perasaan dalamannya menjadi hakikat 'ana'. Kemudian 'keakuan' terhadap jenis manusia akan mula meniupkan semangat perkauman dan asabiyah, sehingga semangat itu menjadi bertambah teguh dengan bersandarkan 'keakuan' itu dan akhirnya ia menjadi seperti syaitan yang direjam dengan mencabar dan menentang segala perintah Allah. Kemudian dia mula mengukur dan menyukat semua manusia, bahkan setiap benda terhadap dirinya berdasarkan hawa nafsunya. Dia membahagi-bahagikan kerajaan Allah kepada benda-benda tersebut dan kepada sebab-sebab yang menyebabkan dia terjatuh ke dalam lembah kesyirikan yang besar, sebagaimana yang tergambar dengan jelas dari pengertian makna firman Allah (s.w.t):
Maksudnya: "Sesungguhnyaperbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. " (Luqman 31:13)



Bandingannya sama dengan seseorang yang mencuri empat puluh dirham daripada harta kerajaan, maka dia terpaksa memberikan satu dirham kepada setiap kawan yang hadir bersamanya agar mereka merelakan perbuatan mahu curinya itu. Begitu juga orang yang berkata: "Aku pemilik diriku", dia pasti akan berkata dan mempercayai bahawa segala sesuatu merupakan milik dirinya!

Demikianlah 'ana' dalam kedudukannya ini terlibat dengan peng-khianatan terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. la sesungguhnya berada dalam kejahilan mendalam, bahkan ia adalah yang paling jahil di kalangan orang-orang yang jahil. la teraba-raba di lembah kejahilan yang melampau walaupun ia mengetahui banyak ilmu dan seni. Ini kerana cahaya-cahaya makrifat yang tersebar di seluruh pelosok dunia yang ditangkap oleh panca indera dan pemikiran-nya tidak menjumpai sesuatu yang membenarkannya, memberikannya cahaya dan mengekalkannya di dalam jiwanya. Kerana itu, semua pengetahuan itu terpadam bahkan menjadi kegelapan yang pekat, disebabkan segala ilmu yang memasuki dirinya dicelup dengan celupan dirinya yang memang berada di dalam kegelapan yang pekat. Sekalipun didatangi oleh hikmat kebijaksanaan yang mutlak dan mengagumkan, jiwanya tetap diselimuti dengan pakaian kesia-siaan yang mutlak, kerana warna 'ana' dalam keadaan ini dicelupi oleh kesyirikan dan penanggalan sifat-sifat yang mulia bagi Tuhan Yang Maha Mencipta, serta pengingkaran kewujudan-Nya. Bahkan jika seluruh dunia ini dipenuhi dengan tanda-tanda kebesaran-Nya yang jelas dan lampu-lampu yang membawa hidayah, nescaya noktah hitam yang terdapat pada 'ana' akan menggerhanakan segala cahaya yang datang dan menghijabkannya daripada berupaya menampakkan dirinya.

Dalam Kalimah Yang Kesebelas, kami telah menghuraikan tentang hakikat kemanusiaan dan keakuan yang terdapat dalam kemanusiaan itu dari sudut makna katawinya. Di sana, kami telah membuktikan dengan kukuh bagaimana keakuan itu menjadi suatu neraca yang sensitif bagi alam ini. la juga merupakan ukuran atau sukatan yang tepat dan halus, indeks yang menyeluruh dan meliputi, peta yang tuntas, cerminan dan penilaian yang sempurna.

Di sini kami mengakhiri mukadimah ini, berpada dengan penghuraian yang terdapat di dalam risalah tersebut.

Wahai saudara pembaca! Jika anda menguasai mukadimah ini, maka marilah sama-sama kita memasuki hakikat itu sendiri.

Sesungguhnya dalam sejarah kemanusiaan, semenjak zaman Saidina Adam (a.s) hinggalah masa kini, terdapat dua aliran dan rantaian pemikiran yang besar. Kedua-duanya berjalan merentasi zaman dan masa, seolah-olah kedua-duanya merupakan dua batang pokok yang besar, yang mengembangkan dahan dan rantingnya ke seluruh penjuru, dan kepada setiap peringkat kemanusiaan.

Pertama: Rantaian kenabian dan agama.

Kedua: Rantaian falsafah dan hikmah (kebijaksanaan).

Apabila kedua-dua rantaian ini bersatu dan bercantum, pada satu-satu masa atau zaman, maka falsafah akan berada dalam lindungan agama, berpaut dan taat kepadanya. Kemanusiaan pula akan mengalami kehidupan yang bahagia dan memperolehi kehidupan kemasyarakatan yang sentosa. Tetapi apabila berlaku perpecahan dan perpisahan antara kedua-duanya, maka segala cahaya dan kebaikan akan berhimpun di sekitar rantaian kenabian dan agama, manakala segala keburukan dan kesesatan akan berhimpun di sekitar rantaian falsafah.

Sekarang mari kita perhatikan punca dan asas kepada setiap rantaian tersebut:

Rantaian falsafah yang menderhaka kepada agama, tergambar di dalam bentuk sepohon pokok zaqum keji yang menyebarkan kegelapan kesyirikan dan kesesatan di sekitarnya, sehingga ia memberikan buah-buahan berbentuk fahaman ateisme, materialisme dan naturalisme kepada akal manusia melalui dahan kekuatan akalnya. Manakala melalui dahan kekuatan kemarahannya, ia mencampakkan buah-buahan kezaliman Namrud, Fir'aun dan pemerintah zalim (Memanglah falsafah kuno Mesir dan Babylon yang mencapai tahap sihir atau disangkakan sebagai sihir kerana ia terbatas kepada golongan tertentu itulah yang mernelihara dan mendakap para Fir'aun dan Namrud dalam peliharaannya. Begitu juga, lumpur dan paya falsafah tabi'i menempatkan tuhan-tuhan di dalam akal ahli falsafah Yunan kuno serta melahirkan pelbagai berhala. Pastilah benar, seseorang yang terhijab daripada nur Allah dengan dinding semula jadi (nature) akan mengurniakan sifat uluhiyah kepada setiap sesuatu, kemudian ia memberikannya juga kepada dirinya sendiri. - Pengarang. Yang lain ke dalam kepala manusia. la juga membesarkan buah-buahan tuhan, berhala dan pendakwa ketuhanan melalui dahan kekuatan syahwat kebinatangan.

Di samping pohon zaqum yang keji ini, terdapat sepohon tuba yang hanya beribadat kepada Allah. Inilah pohon rantaian kenabian. la membuahkan buah-buahan yang segar lagi lazat di dalam kebun bebola bumi dan menghulurkannya kepada kemanusiaan. Dari dahan kekuatan akalnya lahirlah para nabi, rasul, siddiq dan para wali yang salih, me-lalui gugusan-gugusan yang mudah dipetik. la juga melahirkan para pemerintah yang adil dan raja yang suci ibarat malaikat, melalui dahan kekuatan penolakannya. la juga melahirkan golongan mulia, pemurah dan bermaruah tinggi, yang mempunyai jalan kehidupan yang baik, indah, menjaga kehormatan diri dan bebas dari sebarang kemunifakan. Pohon yang berkat itu mengumumkan bahawa manusia sebenarnya merupakan buah yang paling mulia daripada pohon alam itu.

Begitulah asal pohon yang berkat ini dan punca pohon yang keji itu. Kedua-duanya menjadi sudut kepada 'ana' dan wajah kepadanya. Atau dengan ungkapan lain, 'ana' yang menjadi biji benih asal kepada kedua-dua pohon tersebut, kedua-dua sudut atau wajahnya telah men-jadi punca dan asas kepada setiap pohon tersebut.

Kami akan menerangkan perkara tersebut sebagaimana berikut:

Kenabian berjalan dengan mengambil salah satu sudut atau wajah 'ana'. Falsafah juga datang dengan mengambil sudut atau wajah 'ana' yang satu lagi. Sudut atau wajah pertama yang menilik hakikat kenabian, merupakan punca ubudiyah yang ikhlas kepada Allah. laitu 'ana' yang tahu bahawa dialah hamba Allah dan patuh kepada tuhan yang disembahnya. la juga memahami bahawa hakikatnya adalah seperti hakikat 'huruf yang hanya memberikan makna kepada yang lain. la beriktikad bahawa kewujudannya bersifat mengikut, iaitu kewujudannya ada kerana kewujudan sesuatu lain yang mengadakan-nya. la juga mengetahui bahawa pemilikannya terhadap sesuatu hanyalah khayalan sahaja, iaitu pemilikannya hanya bersifat sementara, pada zahir sahaja dia memiliki dengan keizman yang diberikan oleh pemilik sebenar. Hakikatnya hanyalah bayangan, bukan asli, iaitu ia merupakan makhluk yang bersifat harus sahaja kewujudannya dan lemah, serta ia menjadi bayangan lemah yang membalikkan penjelmaan bagi satu hakikat zat yang wajib wujud lagi bersifat benar (haq). Tugasnya pula ialah melakukan ketaatan kepada tuannya, dengan ketaatan penuh perasaan yang sempurna, kerana ia menjadi neraca untuk mengetahui sifat-sifat penciptanya dan sukatan atau ukuran untuk memahami hal ehwal-Nya.

Begitulah sudut pandangan para nabi dan rasul (a.s), serta golongan asfiya' dan awliya' yang mengikut mereka, terhadap 'ana'. Mereka menyaksikannya berdasarkan hakikatnya itu. Lalu mereka menemui hakikat yang sebenar. Mereka menyerahkan kerajaan seluruhnya kepada Tuhan yang memiliki kerajaan lagi maha agung. Mereka semua mengaku bahawa tuhan tersebut tidak mempunyai rakan kongsi, bandingan dan umpama, pada rububiyah dan pada uluhiyah-Nya. Dia-lah tuhan yang mengatasi segala-galanya dan tidak memerlukan apa-apa. Dia tidak mempunyai penolong dan menteri. Pada tangan-Nya terdapat punca segala sesuatu dan Dia amat berkuasa ke atas segala-galanya. Sebab-sebab yang ada, hanyalah langsir dan hijab zahir yang menunjukkan kekuasaan dan kebesaran-Nya. Tabiat hanyalah syariat-Nya yang sejadi dan sekumpulan undang-undangnya yang berjalan di dunia ini, sebagai menzahirkan kekuasaan dan kebesaran-Nya.

Sudut yang bercahaya dan indah ini, adalah seperti sebiji benih hidup yang mempunyai maksud dan hikrnat tertentu. Daripadanya, Allah (s.w.t) menciptakan pohon tuba al-ubudiyah. Dahan-dahannya yang berkat terjulur ke seluruh dunia kemanusiaan dan menghiasinya dengan buah-buahan yang enak dan gemilang, serta menghapuskan kegelapan masa lampau seluruhnya. la juga membuktikan dengan sesungguhnya bahawa zaman yang lampau itu bukanlah sebuah perkuburan luas lagi menakutkan dan medan untuk melakukan hukuman bunuh yang menggerunkan sebagaimana dipandang oleh falsafah, bahkan ia men-jadi sebuah taman daripada taman-taman cahaya, bagi roh-roh yang telah mencampakkan bebanannya yang berat untuk membebaskan diri meninggalkan dunia. la adalah paksi putaran cahaya dan tangga ber-cahaya yang mempunyai tingkat-tingkat yang berbeza bagi roh-roh yang ingin kembali berpindah ke dunia akhirat dan kepada masa depan yang gemilang dan kebahagiaan yang abadi.

Sudut kedua pula yang diambil oleh falsafah yang memandang kepada 'ana' berdasarkan maknanya dari segi 'isma' (kata namanya) sendiri. laitu dengan ia mengatakan bahawa 'ana' menunjukkan kepada makna yang ada pada dirinya sendiri.

Falsafah memutuskan bahawa makna perkataan 'ana' terdapat pada dirinya sendiri dan ia bekerja untuk kepentingan dirinya sahaja. la juga menerima bahawa kewujudan 'ana' itu asli dan berdiri dengan sendirinya, bukan sekadar bayangan sahaja. la mempunyai keperibadian yang tersendiri khusus untuknya.

la juga mendakwa bahawa 'ana' mempunyai hak dalam kehidupan, bahawa dia menjadi pemilik hakiki di dalam batasan sempadan pengurusannya dan ia menyangka bahawa dakwaannya itu merupakan sesuatu yang hakikat dan dapat dibuktikan.

la juga memahami bahawa tugasnya ialah berusaha untuk melakukan peningkatan dan penyempurnaan diri, yang lahir dahpada kecintaannya kepada dirinya sendiri.

Demikianlah mereka menyandarkan laluan mereka di atas dasar yang banyak dan rosak. Mereka membinanya di atas asas-asas yang runtuh dan lemah itu. Kami telah membuktikan dengan pasti, tentang sejauh mana keremehan dan kerosakan asas-asas tersebut di dalam banyak risalah kami, terutamanya dalam al-Kalimat dan terutamanya lagi dalam Kalimah Kedua Belas dan Kalimah Kedua Puluh Lima yang khusus membicarakan mukjizat-mukjizat al-Qur'an.

Para pembesar, perintis dan pelopor falsafah seperti Plato, Aristotle, Ibn Sina dan al-Farabi telah beriktikad - berdasar kaji asas-asas yang rosak itu - bahawa matlamat terakhir bagi kesempurnaan kemanusiaan ialah 'menyerupakan diri' dengan yang wajib wujud, iaitu Tuhan Yang Maha Mencipta. Mereka menamakan ini sebagai hukum pemerintahan Fir'aun yang melampaui batasan. Mereka menyediakan jalan bagi kebanyakan golongan-golongan yang tersesat ke dalam berbagai-bagai jenis kesyirikan seperti penyembah sebab, penyembah berhala, penyembah tabi'i (nature) dan penyembah bintang, dengan membangkit-kan 'keakuan' agar berjalan bebas di lembah-lembah syirik dan ke-sesatan. Mereka menutup jalan ke arah ubudiyah kepada Allah. Mereka mengunci pintu-pintu kelemahan, kedaifan, kefakiran, kemiskinan, keperluan dan kekurangan yang terdapat dalam fitrah manusia. Lalu mereka sesat di dalam lumpur semula jadi, sama sekali tidak selamat daripada paya kesyirikan dan tidak mendapat panduan ke arah pintu kesyukuran yang luas itu.

Manakala mereka yang berada di atas jalan kenabian, mereka telah melakukan hukuman yang dipenuhi dengan ubudiyah yang ikhlas kepada Allah Yang Maha Esa. Mereka memutuskan bahawa matlamat terakhir bagi kemanusiaan dan tugas asasinya ialah berakhlak dengan akhlak ketuhanan, iaitu menghiaskan diri dengan pelbagai ciri mulia dan sifat terpuji yang diperintahkan oleh Allah. Juga manusia hendak-lah menyedari kelemahannya lalu dia berlindung kepada kudrat Allah; melihat kelemahannya lalu dia mempertahankan dirinya dengan kekuasaan Allah; menyaksikan kefakirannya, lalu dia berlindung dengan rahmat Allah; melihat kehajatannya, lalu dia mengambil daripada kekayaan Allah, mengetahui kekurangannya, lalu dia beristifar kepada Allah; dan menyedari kekurangannya, lalu dia bertasbih dan menyucikan kesempurnaan Allah (s:w.t.).

Oleh sebab falsafah yang menderhaka kepada agama telah sesat sejauh-sejauhnya, maka 'ana' telah menjadi pemegang kepada segala urusan-nya, dan bergegas-gegas menuju setiap jenis kesesatan.

Demikianlah bagaimana pohon zaqum tumbuh di atas puncak salah satu sudut 'ana' ini, yang telah menyelubungi separuh daripada ke-manusiaan dengan kesesatannya dan membawa mereka menyeleweng daripada jalan yang lurus. Manakala buah yang dipersembahkan oleh pohon zaqum yang keji itu kepada pandangan manusia, ia merupakan pelbagai berhala dan tuhan yang berada di atas dahan kekuatan kebinatangan yang bersyahwat. Ini kerana falsafah pada dasarnya mengutamakan kekuatan dan menjadikannya asas dan kaedah yang menentukan hala tuju manhajnya, hinggakan dasar 'kekuasaan bagi yang menang' merupakan salah satu perlembagaannya. la juga mengambil prinsip 'kebenaran berada di dalam kekuatan', ('Kenabian' pula hanya memperakui kekuatan yang berada di dalam (digunakan untuk) kebenaran, bukan 'kebenaran beradadalam kekuatan'. Kenyataan ini menolak kezaliman dan merealisasikan keadilan. - Pengarang. Lantas secara tidak langsung ia mengkagumi kezaliman dan permusuhan, serta menggesa dan mengheret para taghut dan pembesar yang zalim lagi melampaui batas agar mengaku diri sendiri sebagai tuhan.

Falsafah juga memiliki keindahan yang terdapat pada segala makhluk, dan kecantikan rupa paras dan bentuknya, ia memilikinya kepada makhluk dan rupa paras itu sendiri, dengan melupakan bahawa ke-indahan dan kecantikan itu sebenarnya merupakan jelmaan kepada keindahan dan kecantikan suci bagi Tuhan Yang Maha Indah, Cantik, Maha Suci, Pembentuk rupa paras dan Pencipta. Falsafah hanya berkata: "Alangkah cantiknya benda ini!" yang sepatutnya ia berkata: "Alangkah cantiknya penciptaan (kejadian) benda ini!" Dengan ini, falsafah telah menjadikan kecantikan dan keindahan itu sendiri umpama berhala yang berhak untuk disembah!

Falsafah juga memperelok fenomena kemasyhuran dan glamor dan rupa luaran yang indah dengan tujuan riak dan membanggakan diri. Kerana itu, ia mengalu-alukan orang-orang yang riak, mendorong mereka supaya berterusan berada dalam kesesatan dan menjadikan mereka umpama berhala-berhala yang menjadi hamba kepada orang yang menyembahnya. (Maksudnya, mereka yang seumpama berhala itu menzahirkan suasana-suasana yang menyerupai peribadatan di hadapan para pengagum mereka, demi menarik perhatian mereka dan sebagai memenuhi tuntutan hawa nafsu mereka. Oleh itu merekalah penyembah dari satu sudut, manakala dari sudut yang lain mereka juga objeck yang disembah. - Pengarang.)

Pohon zaqum itu juga membela para Fir'aun, Namrud dan para taghut agar menguasai keseluruhan manusia yang lemah di atas dahan kekuatan kemarahan.

Manakala di atas dahan kekuatan akal pula, ia meletakkan golongan ateis, materialis, naturalis dan yang seumpama mereka yang terdiri daripada buah-buahan yang keji di dalam akal kemanusiaan, lalu menyebabkan akal manusia bercelaru tidak mampu berfikir dengan sebaiknya.

Untuk menjelaskan hakikat ini, kami membandingkan natijah-natijah yang terhasil melalui asas yang rosak melalui jalan falsafah dan daripada natijah-natijah yang terhasil daripada asas yang benar melalui jalan kenabian. Kami akan membataskan perbincangan ini terhadap beberapa contoh sahaja daripada ribuan perbandingan yang ada.

Contoh pertama:

Antara kaedah kenabian yang diperakui dalam kehidupan peribadi manusia ialah 'berakhlak dengan akhlak Allah'. Yakni hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang ikhlas, berhias dengan akhlak-akhlak-Nya, berlindung dengan lindungan-Nya, mengiktiraf kelemahan, kefakiran dan kekurangan kamu dengan sesungguhnya.

Maka apakah kedudukan kaedah ini jika dibandingkan dengan kata-kata falsafah: "Serupakanlah dirimu dengan (Tuhan) yang wajib (wujud)", yang dijadikan sebagai matlamat tertinggi oleh falsafah bagi kemanusiaan?

Apalah sangat hakikat manusia yang sentiasa bergelumang dengan kelemahan, kedaifan, kefakiran dan keperluan yang tidak terbatas jika dibandingkan dengan hakikat (Tuhan) yang wajib wujud, iaitu Allah Yang Maha Berkuasa, Gagah, Kaya dan Tinggi itu!

Contoh kedua:

Antara kaedah kenabian yang sabit dalam kehidupan sosial, bahawa tolong-menolong merupakan satu perlembagaan yang menguasai alam ini, bermula daripada matahari dan bulan, hingga kepada tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Dapat anda perhatikan bahawa tumbuh-tumbuhan membekalkan makanan kepada binatang. Binatang pula membekalkan makanan kepada manusia. Bahkan ketulan-ketulan makanan membekalkan kekuatan dan memperikan pertolongan kepada sel-sel badan.

Bagaimana perlembagaan yang lurus ini, iaitu perlembagaan tolong-menolong, undang-undang kemuliaan dan peraturan pemuliaan ini, dapat dibandingkan dengan perlembagaan 'pertarungan' yang dibawa oleh falsafah yang mengatakan bahawa 'pertarunganlah' yang menjadi pemutus terhadap kehidupan sosial. Perlu diketahui bahawa 'pertarungan' hanya lahir daripada sesetengah golongan zalim dan binatang buas yang mencakar, hasil daripada salah guna yang dilakukan terhadap fitrah mereka. Bahkan falsafah terus tenggelam dalam kesesatan sehingga menjadikan perlembagaan 'pertarungan' sebagai pemerintah yang menguasai seluruh kewujudan ini. Lalu ia memperakukan dengan kebodohan dan kedunguan yang teramat, bahawa kehidupan ini menjadi perdebatan dan per-tarungan semata.

Contoh ketiga:

Antara natijah dan kaedah kenabian yang ideal lagi tinggi dalam bidang tauhid ialah bahawa 'satu tidak lahir melainkan dari satu juga'. laitu setiap sesuatu yang mempunyai unit, tidak lahir melainkan dari satu sahaja, kerana selagi setiap benda itu mempunyai unit yang zahir, maka sudah tentu ia terhasil daripada 'pengadaan' yang dilakukan oleh zat yang satu. Manakala perlembagaan dan akidah kepercayaan falsafah lama pula mengatakan bahawa 'satu tidak melahirkan melainkan satu sahaja'. laitu tidak lahir daripada zat yang satu melainkan satu benda sahaja, kemudian benda-benda lain, lahir atau terhasil melalui perantaraan beberapa benda pengantara. Kaedah falsafah lama ini memberikan sejenis bentuk kesyirikan kepada sebab dan pengantara yang wujud dalam sifat rububiyah. la juga men-zahirkan bahawa Tuhan Yang Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu, Maha Kaya secara mutlak dan tidak memerlukan kepada yang lain, perlu kepada pengantara-pengantara yang lemah. Bahkan mereka telah sesat sejauh-jauhnya dan memberikan nama makhluk kepada al-khaliq (pencipta) sebagai akal pertama! Mereka membahagikan seluruh kerajaan-Nya di antara para pengantara tersebut dan membuka jalan yang luas ke arah syirik yang nyata.

Di manakah kedudukan perlembagaan tauhid kenabian itu jika hendak dibandingkan dengan falsafah lama yang berpenyakit, tercemar dengan syirik dan terpalit dengan kesesatan itu?

Jika golongan al-Ishraqi (Illuminis) yang merupakan golongan ahli falsafah yang paling tinggi nilai falsafah dan kebijaksanaan-nya sudahpun mengucapkan kata-kata yang rendah ini, maka bagaimanakah pula dengan ahli falsafah dan hikmat lain yang terdiri daripada para materialis dan naturalis?

Contoh keempat:

Antara perlembagaan bijaksana kenabian menyebutkan bahawa setiap sesuatu mempunyai banyak hikmat dan manfaat, hingga-kan bilangan buah kepada hikmat itu adalah sama banyak dengan bilangan buah yang terdapat pada sesuatu pokok, sebagaimana yang difahami daripada firman Allah (s.w.t)
Maksudnya: "Dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya. " (Al-Isra' 17:44)

Jika terdapat hanya satu natijah - daripada penciptaan benda-benda yang mempunyai kehidupan - tertuju kepada makhluk itu sendiri, atau hanya terdapat hanya satu hikmat daripada kewujudannya itu yang kembali kepadanya, nescaya akan terdapat ribuan natijah dan hikmat yang kembali dan tertuju kepada tuhannya yang maha bijaksana dan penciptanya yang maha mulia.

Manakala perlembagaan falsafah pula mengatakan bahawa hikmat dan faedah daripada penciptaan setiap hidupan tertuju kepada dirinya sendiri, atau kembali kepada manfaat dan kepentingan manusia itu sendiri! Kaedah ini merampas banyak hikmat yang dihubungkan dengan segala benda yang wujud dan memberikan sebahagian buah sahaja umpama sebiji sawi jika dibandingkan dengan pohon besar yang hebat, lalu ia menukaikan semua benda yang wujud menjadi sesuatu yang sia-sia.

Di manakah kedudukan kaedah falsafah yang rosak itu - yang pada hakikatnya tidak mempunyai hikmat pun - dan mewarnai semua kewujudan itu jika hendak dibandingkan dengan hikmat benar kenabian?

Kami membataskan perbincangan ini hingga setakat ini sahaja, kerana telah kami bincangkan secara panjang lebar dalam Hakikat Kesepuluh pada Kalimah Kesepuluh.

Dengan itu, boleh anda kiaskan ribuan contoh lain berdasarkan keempat-empat contoh yang telah kami sebutkan di atas. Kami juga telah mengisyaratkan kepada sebahagian daripadanya pada risalah al-Lawamic.

Kerana sandaran falsafah adalah kepada asas-asas yang lemah serta natijah-natijahnya mengecewakan, maka ahli-ahli falsafah Islam yang hebat, yang terpesona dengan kilauan hiasan falsafah, terdorong untuk menuruti jalan itu, umpama Ibn Sina dan al-Farabi. Maka mereka hanya memperolehi darjat iman yang paling rendah sekali, iaitu daijat iman orang biasa. Bahkan Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali tidak memberikan mereka darjat tersebut.

Demikian juga dengan para imam al-Muktazilah. Mereka merupakan ulama ilmu kalam yang mempunyai ilmu mendalam. Namun disebab-kan mereka terfitnah dengan falsafah dan hiasannya dan kerana mereka mengeratkan hubungan dengan falsafah dengan menjadikan akal sebagai hakim, mereka tidak memperolehi apa-apa melainkan darjat seorang mukmin peringkat permulaan (mubjtadi") lagi fasiq.

Demikian juga dengan Abu al-ala al-Macarri yang merupakan salah seorang tokoh sasterawan Islam yang tersohor dengan pesimistiknya, dan Umar al-Khayyam yang masyhur dengan ratapan keyatimannya, serta sasterawan-sasterawan lain yang terbilang dan terpedaya dengan falsafah dan yang jiwa ammarah bi al-su' mereka terpesona dengannya, telah menerima tamparan pengajaran dan lempangan penghinaan serta pengkafiran daripada ahli-ahli hakikat dan kesempurnaan. Mereka ditempelak dengan kata-kata: "Wahai orang-orang yang bodoh! Kamu melakukan kebodohan dan akhlak yang buruk. Kamu juga melalui jalan golongan kafir zindiq, bahkan kamu membela dan memeliharanya dalam dakapan kamu!"

Antara natijah kepada falsafah yang rosak itu ialah bahawa 'ana' yang tidak mempunyai zat melainkan hanyalah suatu hakikat yang lemah, seolah-olah seperti udara atau wap sahaja, tetapi dengan pandangan falsafah yang pesimistik, berdasarkan pandangannya terhadap sesuatu dengan pengertiannya sebagai nama (ism), 'ana' itu menjadi cair. Tetapi dengan sebab kejinakan dan ketenggelaman ke dalam kebendaan dan syahwat, ia seolah-olah mengeras semula. Kemudian ia dihinggapi oleh kealpaan dan keingkaran, lalu 'keakuan' itu terbeku semula. Kemudian dengan penderhakaan terhadap titah perintah Allah 'ana' itu menjadi keruh, kehilangan kejernihan dan kehalusannya lalu menjadi pekat. Kemudian ia menjadi keras semula sedikit demi sedikit sehingga la berupaya menelan tuannya. Bahkan 'ana' itu tidak berhenti setakat itu sahaja, tetapi ia mula membesar, membusung dan meluas dalam pemikiran manusia sehingga ia mula menyukat dan mengukur manusia, bahkan sebab-musabab dengan membandingkannya dengan dirinya sendiri. Lalu dia memakaikan sifat Fir'aun kepada dirinya, sekalipun dia enggan dan meminta per-lindungan daripada memiliki sifat tersebut. Apabila sampai ke tahap itu, dia mula melangkah masuk ke dalam peringkat penentang kepada permtah-perintah Allah, lalu dia sanggup berkata:
Maksudnya: "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu? (Yasin 36:78)

Seolah-olah dia mencabar Allah dan menuduh-Nya lemah. Kemudian dia sanggup campur tangan dalam sifat-sifat Allah, lalu dia meng-ingkari atau mengubah suai atau menolak sifat-sifat yang tidak sesuai dengan hawa nafsunya, atau yang tidak dikagumi oleh ego kefir'aunan-nya.

Contohnya:
Sekumpulan ahli falsafah menamakan Allah (s.w.t) sebagai al-mujib bi al-dhat (yang mewajibkan pewujudan sesuatu dengan zat-Nya), lalu mereka menafikan sifat iradah (berkehendak) dan ikhtiyar (pilihan) daripada Allah. Mereka mendustakan penyaksian seluruh alam terhadap sifat iradah-Nya yang mutlak.

Maha Suci Allah! Alangkah ajaibnya manusia ini! Segala kewujudan, daripada atom sehingga matahari, kesemuanya dengan jelas menunjuk-kan sifat iradah Allah (s.w.t), bagaimana benda-benda itu wujud, tersusun, mempunyai hikmat dan neraca tertentu; bagaimanakah ia tidak boleh dilihat oleh mata falsafah? Semoga Allah membutakan mata mereka!

Sekumpulan ahli falsafah yang lain pula mendakwa bahawa ilmu Allah tidak bergantung dengan juz'iyat, dengan menafikan bahawa ilmu Allah meliputi segala sesuatu. Mereka juga enggan menerima penyaksian benar seluruh makhluk terhadap keilmuan Allah yang meliputi segala sesuatu.

Falsafah juga mengurniakan sifat 'memberi kesan' kepada sebab-musabab, memberikan sifat 'pengadaan' dan 'penciptaan' kepada tangan semula jadi (nature). la tidak melihat tanda-tanda berkerlipan yang terdapat pada setiap benda wujud yang menunjukkan kepada Tuhan Pencipta Yang Maha Besar — sebagaimana yang telah kami buktikan di dalam Kalimah Kedua Puluh Dua. Di samping itu, ia juga menyandarkan penciptaan sebahagian makhluk yang wujud - yang pada hakikatnya merupakan hasil bentukan tangan Ilahi - kepada semula jadi (nature) yang lemah, beku dan tidak mempunyai perasaan, yang memiliki hanya kebetulan dan kekuatan yang meraba-raba dan buta sahaja. la menjadikan semulajadi (nature) sebagai sumber kepada penciptaan sesuatu dan pemberi kesan terhadapnya! Dengan itu, ribuan hikmat yang terdapat pada segala makhluk yang wujud terlindung tidak dapat dilihat lagi.

Falsafah juga, tidak mendapat petunjuk ke arah pintu akhirat yang luas. la mendustakan kebangkitan semula manusia dan mendakwa bahawa roh bersifat azali. Sedangkan Allah (s.w.t.) dengan segala al-asma' al-husna-Nya., alam dengan segala hakikatnya, nabi-nabi dan rasul-rasul dengan segala hakikat yang mereka bawa dan kitab-kitab langit dengan segala ayatnya yang mulia, menjelaskan bahawa kebangkitan semula dan akhirat pasti akan berlaku, sebagaimana yang telah kami buktikan pada Kalimah Kesepuluh (berkenaan dengan kebangkitan semula manusia selepas kematian).

Dengan ini, anda bolehlah membandingkan keseluruhan permasalahan perbincangan falsafah dengan khurafat-khurafat ini.

Ya! Seolah-olah syaitan menyambar akal ahli falsafah yang mulhid itu dengan paruh, kuku dan taring 'ana' dan mencampakkannya ke lembah kesesatan, lalu dicarik-carikkannya dengan teruk sekali.

'Ana' di alam yang kecil (iaitu alam manusia), sama dengan semula jadi (nature} di maya yang luas. Kedua-duanya merupakan taghut. Pirman Allah (s.w.t)


Maksudnya: "Oleh itu, sesiapa yang tidak mempercayai Taghut dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. " (Al-Baqarah 2:256)

Seterusnya[Next]:- ANA (AKU) dan ZARAH Part II

No comments:

Post a Comment