كشف سرالربوبيه

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan nama Allah juga ku memulai risalah ini, yang amat murah, yang amat menghasihani.
Segala puji-pujian bagi allah Tuhan Esa.
Dan rahmat Allah dan salam atas Nabi Allah yang tiada Nabi kemudiannya

Wa ba’du
 

Ada pun kemudian daripada itu, bahawasanya telah berkata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali Qaddasallahu sirrahu dalam kitab Misykatul Anwar bahawasanya tiada pada wujud mumkinul wujud ini terlebih indah daripada alam ini dan tiada terlebih sempurna kejadiannya daripada ini. Tetapi insan itu terlebih indah pula daripada alam sekeliannya. Maka dari kerana itulah setengah daripada Arif Rabbani berkata fardu dan wajib atas orang yang Arif mengetahui daripada pihak yang mana sama antara insan dengan alam, dan dari pada pihak yang mana terlebih insan daripada alam sekalian. Adapun yang sama antara insan dengan alam ini daripada pihak adakah Alam Malak dan pada Alam Malakut dan pada Alam Jabarut.

1) Maka yang bernama Alam Malak pada alam ini ialah segala barang yang terlihat pada mata kepala, dan terdengar telinga, terasa oleh perasa tubuh. Maka itulah bernama Alam Malak.

2)Maka yang bernama Alam Malakut itu ialah suatu alam segala barang yang tiada terlihat oleh mata kepala, tiada didengar oleh telinga, dan tiada terasa oleh perasa tubuh. Maka itulah bernama Alam Malakut itu pada alam, suatu alam segala barang yang tiada terlihat oleh mata kepala, dan tiada terdengar oleh telinga, dan tiada terasa oleh perasa tubuh. Maka itulah yang bernama Alam Malakut pada alam ini.
Ada pun telah berlaku hikmah Allah Ta’ala pada menyatakan sesuatu pada yang nyata pada Alam Malakut ini hanyalah nyata dulu pada Alam Malakut itu jua. Setelah itu maka turun nyatanya pada alam Malak ini.

3)Maka yang bernama Alam Jabarut itu pada sgala ismuallah Ta’ala yang tajjli yang menghimpunkan alam antara Alam Malak dan Alam Malakut itu.

1a)Adapun yang bernama Alam malak pada insan ini segala barang yang terlihat pada mata kepala dan terdengar oleh telinga, terasa oleh perasa tubuh, seperti, tubuh dan daging, dan tulang dan darah, dan lainnya. Maka itulah yang bernama alam Malak pada insan.

2a)Adapun yang bernama alam Malakut pada Insan segala yang tiada terlihat oleh mata kepala, dan tiada terdengar oleh telinga dan tiada terasa pada perasa tubuh, seperti akal, dan ilmu, dan segala sifat zatnya, sperti hayat, dan ilmu, dan qudrat dan sama’ dan basar dan kalam, maka itulah yang bernama Alam Malakut pada insan.

Adapun berlaku hikmah Allah Ta’ala pada menyatakan sesuatu yang nyata pada Alam Malak yang pada Insan hanya nyata dulu pada Alam Malakut yang pada insan itu juga. Setelah itu maka turun nyatanya kepada alam Malak yang pada insan.
Syahdan telah ada yang Alam Malakut pada insan umpama isi, dan telah ada yang Alam Malakut padanya umpama kulit.

3a)Adapun yang bernama Alam Jabarut pada insan segala panji indah sama yang zahir seperti; penglihatan, pendengar, dan perasa dan penciuman dan penjawat. Maka itulah yang bernama Alam Jabarut pada insan. Maka segala yang tersebut sekaliannya itu telah ada pada alam dan pada insan. Maka daripada pihak inilah dikatakan yang berkata sama alam dengan insan.

Adapun yang terlebih insan daripada segala alam sekeliannya daripada pihak ia menanggung amanah Allah Ta’ala. Iaitu tajjali zat Allah Ta’ala pada insan, dan tajjali sifat Allah Ta’ala padanya, dan tajjali fi’il Allah Ta’ala padanya dengan sempurna  tajalli-Nya.
Hanya yang tiada tajjali Allah Ta’ala pada insan dengan dua sifat jua.
Satu Sifat Wajibul Wujud dan
Kedua Sifat Ghina Muthlaq.
Maka hikmah Allah ta’ala tiada tajjali kepada insan dengan dua sifat ini pun daripada Allah Ta’ala menyatakan kesempurnanNya jua. Dan daripada pihak Allah Ta’ala menyatakan kesempurnaan insan jua. Yakni daripada pihak Allah ta’ala hendak menyatakan kesempurnaan tauhid insan akan Allah Taala jua.

Dan kata Syeikh Muhyuddin Ibnu al-arabi Qaddasallahu sirrahu di dalam kitab lubabush Shifu, bahawa fardhu dan wajib atas Arif mengetahui Martabat Uluhiyah Haq Allah dan mengetahui Martabat Rububiyah-Nya supaya sempurna makrifatnya akan Haq Ta’ala. Ada pun Martabat Rububiyah) itu martabat tajjali tiap-tiap suatu daripada zat Haq Ta’ala dan nama Haq Ta’ala Haiyun, dan Alimun, dan Muridun dan Qadirun dan Samiun dan Basirun dan Mutakalimun ((sifat maknawiah)).

Maka nama Haq Ta’ala Alimun itu menghendaki ma’lumat
Maka nama Haq Ta’ala Muridun itu menghendaki muradat
Maka nama Haq Ta’ala Qadirun itu menghendaki maqurat
Maka nama Haq Ta’ala Samiium itu menghendaki masmu’at
Maka nana Haq Ta’ala Basirun itu menghendaki mubashsharat
Maka nama Haq Ta’ala Mutakalimun itu menghendaki  mukallamat

Dengan tiap-tiap sesuatu nama Haq Ta’ala itulah beroleh jalan segala yang Arif kepada Allah Ta’ala daripada astarnya itu kepada mu’starnya. Maka itulah bernama Martabat Rububiyah.

Adapun martabat Uluhiyah itu, iaitu martabat tajjali zat Haq S.W.T dengan nama Allah. Maka nama Allah Ta’ala itu bagi Allah ta’ala menghimpunkan dan meluputkan segala nama yang lain seperti hayun, dan Alimun, dan Muridaun dan Qadirun dan Sami’un dan Basirun dan Mutakalimun. Maka daripada pihak itulah kata segala yang Arif peri persatunya dan peri keesan nama Allah S.W,.T dengan nama yang lain. Dari kerana itulah segala yang Arif tiada membawa ingat/zikir melainkan denga nama-Nya Allah Jua.