Tajalli Waktu


Ikhsan dari sahabatku sangbogoroyo_007

Inilah fashal Fi’il Nabi S.A.W, maka sabda Rasulullah kepada Abu Bakar, Omar, Osman dan Ali Radhiallohu ‘Anhum “Barangsiapa mengetahui Tajalli Waktu ini maka sempurnalah sembahyang dan makrifatnya dan jikalau tiada mengetahui maka tiada sah sembahyang dan makrifatnya, dan inilah yang bernama Fardhu. Maka inilah yang asal Fardhu inilah Tajalli Waktu”. Sembah Ali “Ya junjunganku! apa sebab waktu Subuh itu 2 rakaat, dan waktu Zohor 4 rakaat, dan waktu Asar 4 rakaat dan waktu Maghrib 3 rakaat dan waktu Isya' 4 rakaat?”. Maka sabda Rasulullah S.A.W. “Ya Ali! Waktu Subuh 2 rakaat itu kerana Tajalli Zat dan SifatNya. Waktu Zohor 4 rakaat kerana Tajalli Tuhan itu 4 perkara yaitu Wujud, Ilmu, Nur dan Syuhud. Waktu Asar 4 rakaat kerana Tajalli Hamba itu 4 perkara yaitu Api, Angin, Tanah dan Air. Waktu Maghrib 3 rakaat kerana Tajalli Tuhan itu 3 perkara yaitu Ahadiyat, Wahdah dan Wahidiyat artinya Zat, Sifat dan Af’al. Waktu Isya^ itu 4 rakaat kerana Tajalli Hamba itu 4 perkara yaitu Di Wadi Madi Manikam”.

Soal: Jika ditanyakan orang mana asalnya sembahyang itu?

Jawab: Bahawasanya asal sembahyang itu 4 perkara yaitu Tanah, Air, Api dan Angin.

Soal: Jikalau ditanyakan orang apa perbuatan sembahyang itu?

Jawab: Pertama Qiyam yakni berdiri betul, kedua Ruku’, ketiga Sujud dan keempat Duduk yakni tetap. Maka Qiyam yakni berdiri betul itu fi’il Api kerana Api itu nyala betul. Ruku’ itu fi’il Angin kerana Angin itu condong. Sujud itu fi’il Air kerana Air itu menolak ke bawah. Duduk itu fi’il Tanah kerana Tanah itu tetap adanya.

Soal: Jika ditanyakan orang 5 waktu keluar daripada apa?

Jawab: Bahawasanya keluar dari ‘ALHAMDU’ 5 huruf yaitu pertama Alif, kedua Lam, ketiga Ha, keempat Mim dan kelima Dal.

Soal: Jikalau ditanyakan orang waktu Zohor, waktu Asar, waktu Maghrib, waktu Isya^ dan waktu Subuh keluar daripada apa?

Jawab: Bahawasanya waktu Zohor itu keluar daripada huruf Alif, dan waktu Asar itu keluar daripada huruf Lam, waktu Maghrib keluar dari huruf Ha, waktu Isya^ keluar daripada huruf Mim dan waktu Subuh keluar daripada huruf Dal.

Soal: Jikalau ditanyakan orang apa sebab waktu Zohor dan waktu Asar itu disunyikan yakni tiada dinyaringkan dan apa sebab waktu Maghrib, waktu Isya^ dan waktu Subuh itu dinyaringkan?

Jawab: Bahawasanya waktu Zohor itu keluar dari huruf Alif dan waktu Asar itu keluar dari huruf Lam, maka huruf Alif dan huruf Lam itu keluar dari lafaz Nama ALLAH Ta’ala kerana ALLAH itu tiada berta’yin kerana batin adanya. Maka sebab itulah sembahyang Zohor dan Asar itu disunyikan yakni tiada dinyaringkan. Maka adapun waktu Maghrib, waktu Isya^ dan waktu Subuh dinyaringkan sebab 3 waktu itu keluar daripada huruf Ha, huruf Mim dan huruf Dal itu kerana huruf Muhammad Rasulullah S.A.W. Kerana bahawasanya Muhammad itu Tuhan ta’yin dan segala ta’yin itulah menyatakan Zat dan SifatNya dan Af’alNya. Daripada nyatanya inilah sebab maka sembahyang Isya^, Maghrib dan Subuh itu di nyaringkan kemudian disunyikan pula kerana segala ta’yin itu daripada ta’yin, maka kembalilah kepada ta’yin seperti kata sabda Rasulullah S.A.W “Al Aana Ka Maa Kaana Ta’yin”. Artinya “Sekarang ini pun dahulu juga tiada ta’yin”. Juga kerana zahir itu kembali kepada batin dan daripada pertamanya, maka tafakkur kemudian disunyikan. Barang siapa tahu akan hakikat yang demikian itu maka tahulah ia akan hakikat sembahyang adanya.


BAB PERIHAL EHWAL PERINTAH SEMBAHYANG

Fashal pada menyatakan perihal ehwal perintah Sembahyang dan mengetahui akan asal Sembahyang dan mengetahui fardhu Sembahyang.

Soal: Jika ditanya orang kepada kita apa sebab maka Sembahyang dengan Solat satu namakah atau berbezanya?

Jawab: Adapun kepada Lafaznya itu berbeza, kepada pihak Maknanya satu jua tetapi adalah yang dinamai Solat itu penerimanya adapun yang dinamai Sembahyang itu yaitu pekerjaan yang dzohir.

Soal: Jika ditanya orang apa asal maka Sembahyang Subuh itu 2 rakaat dan Sembahyang Zohor itu 4 rakaat dan Sembahyang Asar itu 4 rakaat dan Sembahyang Maghrib itu 3 rakaat dan Sembahyang Isya^ itu 4 rakaat?

Jawab: Adapun Sembahyang Subuh 2 rakaat kerana kenyataan Zat dan SifatNya dan Sembahyang Zohor itu 4 rakaat kerana Tajalli Tuhan dengan 4 perkara yaitu Hayat, Ilmu, Qudrat dan Iradat. Dan Sembahyang Asar itu 4 rakaat kerana asal Adam itu 4 martabat yaitu Api, Angin, Air dan Tanah. Dan Sembahyang Maghrib itu 3 rakaat kerana permulaan itu atas 3 perkara yaitu Ahadiyat, Wahdah dan Wahidiyat artinya ALLAH, Muhammad, Adam. Dan Sembahyang Isya^ itu 4 rakaat kerana kenyataan hamba itu 4 perkara yaitu Madi Wadi Mani Manikam.

Soal: Jika ditanya orang kepada kita Sembahyang itu apa faedahnya kepada kita yang mengerjakan ia itu dan apa kehendak kita?

Jawab: Adapun disuruh kita Sembahyang itu yaitu tiada memberi manfaat kepada ALLAH dan tiada mengambil faedah atasnya artinya tiada bertambah martabatnya adapun faedahnya sebab kita mengerjakan Sembahyang itu kerana kita sebenar-benar hamba lagi kita mengaku ALLAH Ta’ala itu Tuhan Yang Sebenar-benarnya lagi Esa Ia ZatNya dan SifatNya dan Af’alNya yaitu seperti Firman ALLAH Ta’ala di dalam AlQuran “Alastu Birobbikum.. Qooluu Balaa”. Artinya “Bukankah Aku Tuhan Kamu? Maka sembah segala zuriat bahawasanya Engkaulah Tuhan Kami”. Maka hendaklah kita kerjakan Sembahyang itu dengan Ikhlas artinya tiada sebab berkehendakkan pada syurga dan sebab takut akan neraka. Hanya kita ini Martabat Kehambaan maka ALLAH Ta’ala itulah Tuhan kita yang sebenar-benarnya. Maka jika tiada demikian nescaya ia berdustalah kita dengan Tuhan kita.

Soal: Berdiri itu apa asalnya?

Jawab: Berdiri asalnya Api, Ruku’ asalnya Angin, Sujud asalnya Air dan Duduk asalnya Tanah.

Soal: Api, Air, Angin dan Tanah itu apa kepada kita?

Jawab: Adapun Api itu jadi Nyawa kita, dan Angin itu jadi Nafsu kepada kita, dan Air itu jadi Darah kepada kita, dan Tanah itu jadi Jasad yakni badan kita.

Soal: Berdiri itu perbuatan apa, ruku’, sujud, duduk perbuatan apa?

Jawab: Berdiri itu kebaktian kepada Nyawa, Ruku’ itu kebaktian kepada Nafsu, Sujud itu kebaktian kepada Darah, Duduk itu kebaktian kepada Jasad kita.

BAB HAKIKAT KIBLAT SOLAT

Ini fasal menyatakan Kiblat atas orang sembahyang itu tiga perkara. Pertama Kiblat Tubuh, kedua Kiblat Hati dan ketiganya Kiblat Roh. Adapun Kiblat Tubuh kepada Ka’bah ALLAH, maka hendaklah segala orang Islam yang sembahyang itu menghadapkan kiblat ini, jikalau tidak maka tiada sah sembahyangnya. Maka hendaklah dihadapkan dadanya dan segala urat dan daging darahnya dan tulangnya dan segala anggotanya kepada Ka’bah ALLAH ini sebab difardhukan oleh ALLAH Ta’ala segala orang Islam menghadapkan ke arahnya, maka sahlah sembahyangnya.


Adapun Kiblat Hati itu kepada Tuhan Ka’bah ALLAH, bahawasanya hendaklah kita ‘itiqadkan ALLAH Ta’ala itu tiada ia di kanan dan di kiri dan tiada di hadapan dan tiada di belakang. Tiada ia di bawah dan tiada ditentukan suatu tempat ia jua meliputi alam sekalian Ahadus Shomad seperti firman ALLAH Ta’ala “Wallohu Muhiitun ‘Anil ‘Aalamin” artinya “ALLAH Ta’ala jua meliputi alam sekalian. Firman ALLAH Ta’ala lagi “Wa Huwa Ma’akum Aina Maa Kuntum” artinya ALLAH jua serta kamu barang di mana kamu ada”. Jikalau demikian itu nyatalah bahawa ALLAH Ta’ala itu tiada ditentukan tempat padanya suatu tempat ia hadir jua. Keadaan demikian itu i’tiqad kita maka inilah dikehendaki kepada hati kita.


Adapun Kiblat Roh itu sentiasa ia tidak bercerai dengan Tuhannya kerana yang dianugerahi Tuhannya tujuh sifat yaitu Hayat itu dihantar kepada roh kita maka jadi hidup dengan yang hidup. Maka dihantarkan sifat Ilmu pada hati kita maka jadi tahu kita dengan yang tahunya. Maka dihantarkan sifat Kudrat pada anggota kita maka jadi kuasa dengan yang kuasanya. Maka dihantar sifat Iradat kepada nafsu kita maka jadi berkehendak dengan yang berkehendaknya. Maka dihantar sifat Sama’ kepada telinga kita maka jadi mendengar dengan yang mendengarnya. Maka dihantarkan sifat Bashor kepada mata kita maka jadi melihat dengan yang melihatnya. Maka dihantar sifat Kalam kepada lidah kita maka jadi berkata-kata dengan yang berkata-katanya. Maka dita’yinkan pada i’tiqad kita yang berkata-kata inilah ALLAH Ta’ala.


Apabila engkau mengetahui akan hal yang demikian, maka hendaklah fanakan dirimu itu dan segala perbuatanmu di dalam Af’al ALLAH semata-mata. Maka hendaklah hapuskan, karamkan sifat hamba itu di dalam sifat ALLAH semata-mata, maka tiada sifat kita lagi. Maka hendaklah sifat zat kita di dalam Zat ALLAH, maka tinggallah Zat ALLAH, Sifat ALLAH, Af’al ALLAH semata-mata adanya kerana kita telah kembali kepada Adam sediakala. Maka tatkala itu kata olehmu Allahu Akbar, inilah bernama sembahyang orang yang Khoshul Khos namanya. Maka memperoleh maqam munajat, maqam tabdul Kalamullah, jikalau tiada demikian itu tiada sah sembahyangnya.


Maka ditilik sembahyangnya tetaplah menyembah huruf dan suaranya dan menyembah bayang-bayang itu ESA, sempurnalah ibadatmu dan amalmu kepada ALLAH Ta’ala kerana inilah dinamai sembahyang itu saudaraku. Ketahui olehmu akan sempurna sembahyang, tiada sah sembahyang itu tiada Niat dan Ikhlas melainkan dengan Hati dan tiada bernama Hati melainkan Ilmu dan Ta’yin. Adapun artinya Hati itu dan Ikhlas dan Ilmu dan Ma’rifat itu Rohani. Maka ketahui olehmu bahawasanya sekalian perbuatan itu dengan Niat dan Tertib. Tertib itu terbit daripada Hati yang Latif yaitu Rohani. Adapun Cita-Cita itu terdahulu daripada Niat.

Adapun Qosad itu tiga bahagi, pertama Qosad Nafsu, kedua Qosad Tabliyat dan ketiga Qosad Roh. Adapun Qosad Roh di dalam Rahsia, adapun tatkala berdiri sembahyang itu maka hapuskanlah dan lenyapkan perbuatan kita di dalam Af’al ALLAH. Maka tiggallah Af’al ALLAH semata-mata dan QudratNya, maka katalah olehmu ALLAHU AKBAR. Inilah maqam munajat dan maqam mi’raj dan maqam tabdul dan maqam Islam, maka beroleh lazat dan cintarasa baginya.

Wabillahit Taufiq Wal Hidayah.

Seterusnya [Next]:- Nafas Dan Zikir

5 comments:

perjalanan pulang said...

Salam ... saya tertarik

Tok Latiff Mawar Nurullah said...

Alhamdulillah.

Bigbos WS Jember said...

Alhamdulillah...Salam sejahtera selalu!

Unknown said...

Salaam.. saya ada buku lama yg menerangkan tentang hakikat. Dalam bab qiblat menurut buku itu
ada 4 qiblat.. minta pencerahan.. terima kasih.

Unknown said...

Alhamdulillah.
Barokalloh 'alaikum.

Post a Comment