Kebenaran miilk siapa yang mahu berfikir.

بسم الله الرحمن الرحيم

Kebenaran milk siapa yang mahu berfikir. Dunia Hanya sementara kerana kelak kita semua akan ditanya tentang Kebenaran. Siapa yang tidak memilikinya, maka malapetaka yang dasyat adalah habuannya. Siapa yang memilikinya dialah pemegang kunci Syurga. Seruan kepada Islam akan sampai kepada setiap individu, tidak kira dia berada di kota atau di gua gua. Jangan tanya bagaimana caranya,, bila dan siapa.... Itu adalah kerja Tuhan. Cuma pilih atau tidak. Pilihan di sini adalah penentuan hidup kekal di akhirat.

Bagaimana, jika Tuhan menjadikan hidup ini terlampau subjektif. Anda masuk agama-Nya atau tidak, di dalam dunia anda boleh meneruskan hidup sebagai manusia biasa. Anda menyembah Dia atau tidak, anda masih boleh makan dan minum seperti manusia-manusia yang lain.
Anda percaya kepada Dia atau tidak, jika anda berusaha anda akan kaya dan hidup selesa. Tuhan tidak berminat untuk menyeksa anda di dunia ini. Dia tidak akan cepat memberi anda hukuman supaya menarik anda menyembah Dia walaupun tujuanNya menciptakan anda adalah untuk beribadah kepadaNya – untuk menyembahnya.
“Dan tidaklah Aku ciptakan Jin dan Manusia kecuali untuk beribadah kepadaku”
(Surah adz-Dzaariyaat ayat 56, AlQuran)
Apa akan jadi jika hidup ini terlalu subjektif. Perintah-perintah agama dan larangan-larangan agama sesiapa boleh mengambilnya atau tidak mengambilnya. Namun Tuhan sudah berpesan, jika manusia melakukan dosa, maka dia akan diseksa. Jika dia mengumpulkan pahala, maka dia dibalas syurga. Tetapi anehnya Dia tidak terlalu memaksa manusia di dunia ini. Dia membiarkan sahaja.
Orang-orang kafir hidup subur dengan riang gembira. Orang-orang beriman juga boleh hidup subur dengan riang gembira jika mengikut hukum alam yang ditetapkan Tuhan. Siapa berusaha dia akan mendapatkan hasilnya. Maka berebutlah manusia kafir dan beriman mengambil apa sahaja di dunia ini untuk hidup. Untuk makan dan minum. Untuk tertawa gembira.
Apa akan jadi jika hidup ini terlalu subjektif. Hukum di dalam AlQuran boleh diambil manusia atau dibuang manusia, Tuhan tidak peduli. Namun di Hari Pembalasan, Tuhan akan berkira tentang itu. Orang yang membuang hukumNya, Tuhan hanya membiarkan sahaja dia gemuk dan bahagia. Orang yang mengambil hukumNya juga Tuhan hanya memerhatikan sahaja. Dosa pahala sudah pasti. Tuhan Maha Menghitung.
Dalam hidup yang terlampau subjektif, orang beriman jika mahu berjaya mesti ikut hukum alam. Jika mereka menentang hukum alam, mereka akan ketinggalan dari orang kafir. Tuhan tidak menurunkan bantuan atau keistimewaan dek kerana mereka orang beriman. Sunnatullah dan sebab-akibat kekal berjalan. Jika berdoa, doanya akan disimpan di akhirat nanti. Orang kafir atau beriman sama sahaja.
Beza orang kafir dan beriman HANYALAH KETIKA DI HARI PEMBALASAN.
Adakah ini adil?
Adakah ini adil?
Adakah ini adil kepada orang-orang kafir? Tuhan hanya membiarkan mereka melakukan apa saja tanpa menghukum mereka di dunia untuk menyedarkan mereka? Di akhirat nanti, pasti mereka akan merasa ‘tertipu’ dengan diri mereka dan sistem Tuhan yang terlampau subjektif ini. Tuhan, mengapa Engkau tidak hukum kami semasa di dunia?
Kami tidak tahu. Ini bukan salah kami. Kami tidak beriman dan hidup kami makin bahagia makin bahagia. Kami lihat orang beriman makin lama semakin susah dan hina. Mengapa Engkau tidak seksa kami, susahkan kami atau dera kami ketika kami berkafir kepadaMu? Mengapa Engkau tidak jadikan siapa yang beriman akan bahagia di dunia dan yang kafir terus menderita dan sengsara?
Ingat! Dalam hidup yang terlalu subjektif, kamu berkafir atau beriman itu tidak penting. Iman itu tiba-tiba akan menjadi sangat berharga ketika di Hari Pembalasan itu. Di dunia, kamu semua akan hidup secara saksama; beriman atau kafir, siapa berusaha dia akan berjaya. Siapa menentang hukum alam, dia akan sengsara.
Bayangkan jika Tuhan menjadikan hidup ini terlampau subjektif. Siapa yang tidak beriman akan menderita rasa seolah-olah tertipu semasa di dunia di mana kekal hidup bahagia semasa berkafir tanpa ada sesuatu yang menyedarkannya sesaat tentang iman dan Tuhan. Bayangkan jika Tuhan tidak pedulikan kita. Kita berkafir sampai mati dan mendapat balasan sesuai dengan kekafiran kita.
Semuanya bergantung pada nasib dan diri sendiri.
Iman ini seolah-olah sesuatu yang abstrak dan tidak dapat dibuktikan manfaatnya kepada manusia yang mengambilnya. Orang yang tidak mengambilnya tetap kaya dan bahagia jika dia berusaha segiatnya. Tetapi ia akan ‘hidup’ di Hari Pembalasan. Di hari itu, iman akan menunjukkan kepada Tuhan, inilah orangnya yang memiliki dirinya.
Tetapi Hari Pembalasan itu sendiri tidak penting untuk orang yang berkafir. Ini kerana mereka tidak percaya kepada Tuhan. Maka Tuhan membiarkan sahaja orang-orang kafir hidup sehingga ke satu masa. Orang-orang kafir itu melihat tiada beza sama ada beriman atau berkafir malah orang yang beriman kadang-kadang (malah selalu) hidup dalam keadaan hina, bodoh dan miskin. Tiada sebab dia harus mengambil iman itu. Tiada bezanya.
Ya, memang tiada beza. Dalam hidup yang terlalu subjektif, beriman atau tidak, tiada bezanya. Kamu hidup sebagaimana manusia hidup mengikut hukum alam. Tetapi tujuan kamu diciptakan masih sama:
“Dan tidaklah Aku ciptakan Jin dan Manusia kecuali untuk beribadah kepadaku”
(Surah adz-Dzaariyaat ayat 56, AlQuran)
Di Hari Pembalasan, orang yang berkafir akan merasa terpedaya dan amat tertipu. Jika iman itu amat penting, mengapa tiada petunjuk semasa di dunia? Celaka!!
Petunjuk, nabi dan kitab sudah tersedia. Hidayat pasti datang. Nak atau tak nak sahaja. Celaka!! Jika iman itu amat penting, mengapa ia tidak memberi faedah yang benar-benar kepada yang beriman itu?? Mengapa tidak jadikan semua yang beriman itu kaya dan berkuasa?! Supaya kami cepat sedar dan mengambil iman itu!
Dalam hidup yang terlalu subjektif, mahu beriman atau tidak adalah di atas diri masing-masing. Peraturan dan panduan sudah ada di dalam Kitab. Melaksanakannya tidak akan bisa memberimu kekayaan pantas. Tapi itu tanda percaya kepada kata-kata Tuhan.
Percaya itu adalah amat mahal.
Dalam hidup yang terlalu subjektif, perbezaan antara berkafir dan beriman tidak wujud sama sekali. Hanya percaya atau tidak, bukti di lain waktu, di Hari Pembalasan. Hanya percaya atau tidak.
Malah, kadang-kadang ia muncul dalam bentuk lebih tragis lagi; yang beriman akan menderita sengsara ketika di dunia dan siapa berkafir akan mudah untuk senang dan bahagia. Semata-mata percaya sahaja. Percaya kepada Tuhan. yang beriman akan melihat hasilnya di Hari Pembalasan, yang berkafir juga akan mendapat balasannya pada hari yang sama.
Adilkah jika hidup yang terlalu subjektif? Tiada faedah khusus untuk yang beriman di dunia, semuanya dibalas di akhirat. Tiada hukuman untuk yang berkafir semasa di dunia, semuanya dihukum di akhirat.
Mati adalah pasti bukan? Tidakkah kematian itu sendiri adalah berita yang paling dasyat bagi setiap yang bernyawa?
-Hermit-

No comments:

Post a Comment