*ZIKIR*

بسم الله الرحمن الرحيم

Dia berkata kepadaku, "Sudah banyak zikir yang kubaca, sudah kuhafal seluruh maknanya dan ada telah kualami keajaiban karamahnya. Hanya satu yang masih terasa kurang bagiku. Mengapakah dalam berzikir aku masih belum dapat merasakan bersatu dengan Allah? Seolah-olah Allah itu jauh dariku, dan aku jauh dariNya. Seperti ada batas atau hijab pemisah antara aku dan Allah. Konflik persoalan ini terus bermain di lubuk fikiranku, sehingga terbawa-bawa ke klimaks batin yang amat membingungkan tanpa penjelasan. Akhirnya membuatkan aku sendiri merasa jemu untuk meneruskan zikir. Apakah ada yang salah pada zikirku? Padahal zikir-zikirku itu kuperolahi secara talqin dan ijazah dari seorang guru mursyid!"
Pertanyaan darinya itu tidak kujawab secara spontan. Agak lama aku terdiam sambil mengambil waktu untuk berfikir. Setelah aku yakin mungkin dapat membantu pertanyaannya itu, dengan tenang aku cuba berkata;
1. masalah yang utama sekali ialah dalam zikir itu kau tidak mengenalNya sebagaimana mengenalNya dengan sebenar-benarnya kenal. Kau sekadar mengenalNya dalam ilmu-ilmu kalam yang kaupelajari tetapi tidak dengan rahsia misykat qalbumu yang terdalam. Apabila kau tidak mengenalNya dengan qalbu, maka asas niatmu untuk berzikir itu tidak kaubangunkan dari sudut yang benar dan sempurna. Justru itu kau harus memperbetulkan niatmu dahulu. Kemudian kau bina niatmu itu semata-mata kerna Allah. Setiap ibadah itu seharusnya dibangunkan atas dasar tauhid dan taqwa dan bukan kerna mendambakan ganjarannya. Orang yang berzikir itu sewajarnya berada di maqam ikhlas. Bersabda Nabi saw, "Sesungguhnya (nilai) niat itu lebih utama dari perbuatan."
2. apabila kau tidak mengenalNya melalui misykat qalbumu, maka zikirmu itu bertindak atas kemahuan nafsumu sendiri. Kesilapanmu adalah kerna kau terlalu bergantung dengan amalmu dan tidak dengan rahmat dan kasih-sayang Allah. Lantaran itu kau menganggap zikirmu adalah dari usaha dirimu sendiri dan bukan dari kurniaan Allah.
3. kau beranggapan ketika kau berzikir bahwa kaulah yang mengingati Allah dan Allah itulah yang diingati. Lantaran demikian, sebenarnya kau tidak berserahkan dirimu sepenuh-penuhnya kepada Allah, tiada sifat tawakal dan redhamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya redha dan tawakal. Bagaimana mungkin kau dapat bersatu dengan Allah selagi kau belum berserah diri kepada Allah?
4. Sesungguhnya tiada yang mengingati Allah melainkan Allah, tiada yang memuji Allah melainkan Allah. Dirimu hanyalah bekas penzahiran Allah. Kau sebenarnya tiada, kosong semata-mata. Kau bukanlah kau sebenarnya. Ketika kau berzikir, sebenarnya bukan kau yang berzikir, tetapi Allah yang berzikir memuji ZatNya sendiri. Kau sekadar menjadi alat pilihanNya. Suara zikir yang melantun keluar dari lisanmu adalah sebenarnya suara Allah. Gema zikir yang menerawang dalam batinmu adalah sebenarnya kalam Allah. Sayangnya kau tidak menyedarinya.
5. janganlah kau berzikir dengan tujuan zikir kerna zikir. Kerna ini akan membuatmu terperangkap dan terpesona di maqam yang akan memperlihatkan pelbagai keajaiban karamah, tetapi ini jugalah yang menghambatmu dalam perhubungan makrifat dengan Allah. Pedulikan tentang keajaiban-keajaiban zikir yang terutamanya boleh mendatangkan pujian dan gelaran orang kepadamu sebagai 'Wali'. Berzikirlah dari Allah dengan Allah kepada Allah bersama Allah dan kerna Allah. Tutuplah rapat-rapat pintu bibirmu agar zikir itu tidak kedengaran oleh sesiapa pun, hatta malaikat yang bertugas mencatatkan amalmu di bahu kanan pun tidak tahu di manakah munculnya zikir itu. Biarkan Allah sahaja yang tahu zikir itu berada di dalam 'Sirrmu' – yakni di kamar yang Jibril sendiri pun dilarang memasukinya, agar kau terlepas dari rasa ujub dan riak serta tidak dipuji orang.
6. jika kau telah dapat menjalankan zikir atas rasa ikhlas semata-mata kepada Allah dan Allah redha kepadamu, ketahuilah bahwa ikhlas itulah tauhid sebenarnya, Allah sendiri yang akan membimbingmu dan mengajarkanmu zikir yang khusus yang hanya kau sahaja yang mengetahui tentang rahsia zikir itu, dimana zikir itu tidak diajarkan atau diketahui oleh orang awam, sebagai sarana untuk kau bertemu, mengenal dan bersatu denganNya.
7. Dan terakhir sekali apa yang ingin kukatakan; tinggalkanlah semua zikirmu yang lalu itu kecuali ibadah yang diwajibkan ke atasmu serta amalan-amalan sunnat yang terutama dianjurkan oleh Rasulullah saw. Seorang dalam perjalanan tidak perlu membawa sarat bekalan yang begitu banyak hingga menyusahkan perjalanannya. Tinggalkan juga zikir yang berkhadam semasa kau memperolehi ijazahnya daripada gurumu itu. Sebaliknya amalkanlah zikir Haq tanpa bertawassul kepada khadam. Zikir berkhadam itu meskipun diharuskan di sisi hukum syarak dan cepat mendatangkan bermacam hasil bantuan dan faedah, tetapi kebaikan itu hanya untuk diraih semasa hayatmu di dunia sahaja, tetapi tidak membawamu kepada makrifatullah. Bila kau telah meninggalkan dunia yang fana ini, khadam-khadam itu tidak akan lagi berkhidmat kepadamu dan meninggalkanmu sendirian menjawab pertanyaan malaikat Mungkar dan Nangkir. Setelah kau tidak lagi dibebankan oleh zikirmu yang lalu, kau akan merasakan keringanan tanpa memboroskan lagi banyak waktu dan tenagamu yang mengalir. Zikir Haq itu boleh kaulakukan kapan-kapan saja, tanpa terikat lagi dengan waktu dan tenaga, tanpa kau perlu berpenat-lelah dan mulutmu berkomat-kamit. Tetapi sebelum kau dapat melakukan Zikir Haq ini, terlebih dahulu kau harus mematikan seluruh wujud dirimu. Selagi ada wujud dirimu, maka Zikir Haq ini mustahil dapat kaulakukan dengan sebaiknya. Zikir Haq itu ialah ingat kepada Allah dengan Allah bersama Allah dalam sudut qalbumu yang terdalam serta dalam suasana yang paling diam dan hening tanpa perlu mengeluarkan sebarang ucapan hanya merasakan kehadiran Allah itu ada bersama-samamu di mana pun kau berada, sehinggalah kau dapat merasakan bersatu denganNya seperti terbakarnya besi ke dalam api, besi itu menjadi api, api itulah besi yang membakar- tidak kau lihat sesuatu sebelumnya melainkan Allah, tidak kau lihat sesudahnya melainkan Allah, tidak kau lihat sesuatu di dalamnya melainkan Allah, akhirnya tiada lagi yang wujud melainkan Allah di dalam maqam Insan Al-Kamil – sampai cukup masanya besi telah keluar dari api sebagai besi yang indah dan sempurna, tidak lagi sebagai besi yang hodoh dan berkarat serta berkebaikan buat kehidupan dunia dan akhirat.
wallahuaklam

No comments:

Post a Comment