Nafas Dan Zikir


Sabda Nabi S.A.W yaitu "Barangsiapa keluar masuk nafas dengan tiada zikir ALLAH maka sia-sialah ia". Bermula nafas itu atas dua langkah, satu Naik dan kedua Turun. Maka tatkala naiknya itu sampai kepada 7 petala langit maka berkata “Wan Nuzuulu Yajrii Ilal Ardhi Fa Qoola HUWALLOH”. Dan tatkala turun kepada 7 petala bumi maka nafas Nabi itu bunyinya ALLAH. Tatkala masuk pujinya HUWA. Tatkala ia terhenti seketika antara keluar masuk Tanaffas namanya, pujinya AH.. AH. Tatkala ia tidur atau mati Nufus namanya Haqqu Daa'im.

Ingatlah olehmu dalam memeliharakan akan nafas itu dengan menghadirkan makna ini sentiasa, di dalam berdiri dan duduk dan di atas barang yang diperbuat hingga memberi bekas kepada sekalian badan dan limpah segala cahaya Nurul ‘Alam itu atas segala anggota. Maka apabila tetaplah tilik hatimu maka jadilah engkau hidup di dalam Dua Negeri yakni Dunia Akhirat dan dibahagiakan ALLAH baginya pintu selamat sejahteralah di dalam Dunia dan Akhirat. Dianugerahi ALLAH Ta’ala mereka itu sampai kepada martabat segala Nabi dan segala Muslimin dan mengharamkan ALLAH Ta’ala tubuhnya dimakan api neraka dan badanya pun tiada dimakan tanah di dalam kubur. Maka engkau tetaplah dengan hatimu wahai saudaraku pada hal ini dan jangan engkau jadi daripada orang yang lupa, mudah-mudahan dibahagiakan ALLAH Ta’ala atas mu dengan berhadapan sentiasa hingga sampai kepada ajalmu.

Adapun nafas kita keluar masuk sehari semalam yaitu pada siang 12 000 dan pada malam 12 000 kerana inilah bilangan jam sehari semalam 24 jam, pada siang 12 jam dan malam 12 jam, demikianlah seperti huruf “Laa Ilaaha Illalloh, Muhammadur Rasuululloh”, masing-masing mempunyai 12 huruf berjumlah 24 huruf semuanya. Barangsiapa mengucap dengan sempurnanya yang 7 kalimah itu nescaya ditutupkan ALLAH Ta’ala Pintu Neraka yang 7. Juga barangsiapa mengucap yang 24 huruf ini dengan sempurna nescaya diampuni ALLAH Ta’ala yang 24 jam. Inilah persembahnya kita kepada Tuhan kita yang tiada berkeputusan yang dinamai Sembahyang Daa'im dan puasa itu melakukan nafsu zahir dan batinnya.

Sabda Nabi S.A.W “Ana Min Nuurillah Wal ‘Aalami Nuurii” artinya “Aku daripada Cahaya ALLAH dan sekalian alam daripada Cahayaku” sebab itulah dikatakan “Ahmadun Nuurul Arwah” artinya “Muhammad itu bapa sekalian nyawa” dan dikatakan “Adam Abu Basyar” artinya “Adam bapa sekalian tubuh”. Adapun yang dikatakan Fardhu itu Nyawa kerana Nyawa itu dapatlah bergerak badan kita.

Adapun Awal Muhammad Nurani adapun Akhir Muhammad Rohani. Adapun Zahir Muhammad Insani adapun Batin Muhammad Robbani. Adapun Awal Muhammad Nyawa kita adapun Akhir Muhammad Rupa kepada kita, adapun yang bernama ALLAH Sifatnya, adapun sebenar-benar ALLAH itu Zat Wajibal Wujud, adapun yang sebenar-benar Insan yaitu manusia yang tahu berkata-kata adanya. Wabillahit Taufiq Wal Hidayah.

JALAN KEPADA ALLAH

Ketahuilah olehmu JALAN kepada ALLAH Ta’ala itu empat jalan yaitu pertama Jalan Syariat, kedua Jalan Tariqat, ketiga Jalan Hakikat dan keempat Jalan Ma’rifat. Adapun yang dikatakan Jalan Syariat itu Kata Nabi, Jalan Tariqat itu Perbuatan Nabi, Jalan Haqiqat itu Tempat Kediaman Nabi dan Jalan Ma’rifat itu Rahsia.

Adapun Istana Syariat itu Lidah, Istana Tariqat itu Hati, Istana Haqiqat itu Nyawa dan Istana Ma’rifat itu Kelakuan Nabi meliputi dengan semata-mata sekalian alam. Bermula Syariat itu kerja Tubuh, Tariqat itu kerja Hati, Hakikat itu kerja Nyawa dan Ma’rifat itu kerja Rahsia.

Soal: Jika ditanya orang apa yang dijunjung oleh Islam?

Jawab: Adapun yang dijunjung yakni titah itu empat bahagi, pertama Syariat dijunjung oleh Anggota Islam, adapun Tariqat itu dijunjung oleh Hati Islam dan Haqiqat itu dijunjung oleh Nyawa Islam, adapun Ma’rifat itu dijunjung oleh Orang Yang Mengetahui Islam yang empat itu. Maka inilah orang yang dinamai Shofid Daaroini artinya Hidup Kepada Dua Buah Negeri. Maka orang inilah sempurna Islamnya dan inilah segala orang yang ‘Arif Billah AlKhosul Khos artinya Pilihan-pilihan dan Mukmin Shidiq, Mukmin sebenarnya. Maka inilah bergantung pada Tali ALLAH yang tiada berputusan Musyahadah dan Muqabalah dan Muraqobah dengan Haq ALLAH Ta’ala daripada ‘Adam kepada Wujudnya dan daripada Wujud kepada ‘Adamnya tiada bercerai dan tiada bertemu dan lain-lain daripadanya.

Dan lagi ALLAH Ta’ala menjadikan sembahyang itu seperti Nabi Ahmad Muhammad pun namanya. Maka Ahmad itu empat hurufnya yaitu Alif, Ha, Mim, Dal. Maka Berdiri itu Alif, Ruku’ itu Ha, Sujud itu Mim dan Duduk itu Dal, demikianlah adanya. Adapun asal tubuh manusia itu yakni tubuh Adam Alahis Salam asal kejadian empat unsur yaitu Tanah, Air, Api dan Angin. Adapun Tanah itu tempat nyata Wujud ALLAH yang bernama Hakim artinya Yang Tahu Pada Hukumnya, dan Air itu tempat nyata Wujud ALLAH yang bernama Mahyun artinya Yang Hidup, dan Angin itu tempat nyata Wujud ALLAH yang bernama Qawiyyun artinya Yang Kuasa dan Api itu tempat nyata Wujud ALLAH yang bernama ‘Adzim artinya Yang Agung. Maka ditilik dan dilihat ‘Arif Kamil Mukammil itu seperti yang tersebut, menilik ia kepada bercerai maka ia melihat perhimpunan yang empat kepada Insan. Maka dilihat dengan Mata Hati pada Insan, Wujud ALLAH yang bernama ALLAH, inilah isyarat Hadith Nabi S.A.W “Man Nadzoro Ilaa Syai^in Wa Lam Yarollohu Fii Hi Wa Huwa Baatil” artinya “Barangsiapa menilik kepada suatu tempat tiada dilihat ALLAH di dalam, maka yaitu batal”. Inilah ‘Arif Kamil Mukammil tiada berkeputusan Dirinya, dan Hatinya, dan Nyawanya dan Rahsianya itu berkehendak kepada Wujud ALLAH yang bernama ALLAH. Wabillahit Taufiq Wal Hidaayah.

Kemudian daripada ketahui pula akan nama ALLAH dan Muhammad S.A.W, adapun nama ALLAH itu Empat Huruf yaitu Alif, Lam Awal, Lam Akhir dan Ha. Demikianlah suatu ALLAH pada Insanpun Lima yaitu Jari Kelingking itu Huruf Alif, Jari Manis Huruf Lam Awal, dan Jari Tengah itu Huruf Lam Akhir, dan Jari Telunjuk dan Ibu Jari itu Huruf Ha. Demikianlah suatunya ALLAH pada Tangan Kiri dan Tangan Kanan dan Kaki Kiri dan Kaki Kanan jua huruf Insan itu nama ALLAH dan Rasulullah S.A.W.

Kerana firman ALLAH dalam Hadith Qudsi yaitu “Jismanii Insaana Wa Nafsahu Wa Qalbahu Wa Ruhahu Wa Sam’ahu Wa Bashorahu Wa Lisaanahu Wa Yadahu Wa Rijlahu Wa Kullu Zaalika Adzharni Nafsahu Laa Huwa Illa Ana, Wa Laa Ana Ghoiruhu”. Artinya “Tubuh Manusia dan nafsu dan hati dan nyawa dan mendengar dan melihat dan lidah dan tangan dan kaki dan sekelian itu Aku nyatakan bagi diriKu, maka tiada Insan itu lain daripadanya”.

Maka sebenar-benar Insan itu Muhammad S.A.W. Maka ALLAH Ta’ala pun Tajallilah Ia kepada Insan itu seperti firman ALLAH Ta’ala “Al Insaanu Sirrii Wa Anaa Sirruhu” artinya “Insan itu rahsiaKu dan Aku rahsianya. Dan firman ALLAH Ta’ala “Al Insaanu Sirrii Wa Anaa Sirruhu Wa Shifaatu Laa Ghairuhu” artinya “Insan itu rahsiaKu dan rahsiaKu sifat dan sifatKu itu tak lain daripada Aku”.

Demikianlah kemuliaan Insan kepada ALLAH Ta’ala, maka hendaklah diketahui akan keadaan rahsia ALLAH itu jikalau tiada diketahui nescaya di dalam dosa yang maha besar seperti sabda Rasulullah S.A.W yang artinya “Adamu itu rasa yang sebagi dengan Dia, rasaNya rasa engkau, engkau di dalam rasaNya”. Daripada kerana inilah sabda Rasulullah S.A.W “Al ’Ilmur Ruh Wal ‘Amalu Jasad” artinya “Ilmu itu nyawa dan amal itu jasad (tubuh)”. Yakni jikalau tiada nyawa itu maka tiada dapat badan itu bergerak. Demikianlah di dalam kebaktian sekalipun kerana kebaktian jikalau tiada dengan ilmu maka tiada sempurna kebaktian kepada ALLAH Ta’ala.

Adapun nama Muhammad pada tubuh kita yaitu Empat Huruf, pertama Mim, kedua Ha, ketiga Mim, keempat Dal. Adapun Kepala itu Huruf Mim Awal, adapun Tangan itu Huruf Ha, adapun Pinggang itu Huruf Mim Akhir dan adapun Peha kedua itu Huruf Dal. Demikianlah di dalam Insan itu tiada lain daripada nama ALLAH dan Muhammad S.A.W. Tiliklah nyata-nyata dengan memohon kerana ALLAH Ta’ala Tuhan Yang Sebenar-benarnya.

DIRI TERDIRI DAN DIRI TERPERI

Adapun diri kita itu DUA perkara, pertama Diri Terdiri, kedua Diri Terperi. Maka Diri Terdiri inilah sifat kehinaan yang jadi daripada ibu-bapa asal daripada Mani tatkala masuk ke dalam rahim ibunya dan tatkala 40 hari lamanya ‘Alaqoh namanya, artinya darah yang bergumpal. Dan tatkala genap 120 hari lamanya Nutfah namanya, artinya daging yang tiada bertulang. Kemudian daripada itu masa dirupakan ALLAH Ta’ala akan dia yang dikehendaki merupakan dia dan telah sempurnalah kejadiannya, maka dititahkan Nyawa masuk ke dalam dikehendaki. Dan apakala masuklah Nyawa ke dalam ibunya maka dikeluarkan ALLAH Ta’ala dia daripada perut ibunya kepada Alam Wasitoh seperti orang yang telah jaga daripada tidur. Maka dilihat tiada lagi rupa yang telah dilihat maka ia menangis, maka sebab suara inilah dia bernama Insan. Tatkala ia tahu menangis Muhammad namanya, tatkala inilah dijadikan ALLAH Ahlis Sunnah Wal Jama’ah. Tatkala ia tahu menyusu Sufiah namanya, tatkala tahu berkata-kata Kitab namanya kerana tatkala itu nyata rupa yang di dalam kandungan ibunya inilah yang dikenalnya itu. Tatkala tahu meniarap Hanafi namanya, tatkala tahu duduk Malik namanya, tatkala tahu berdiri Hambali namanya, tatkala tahu merangkak Syafie namanya, inilah jalan Imam yang Empat itu dijadikan ALLAH Ta’ala. Tatkala tahu berjalan Amrullah namanya, tatkala dalam peliharaan ibu-bapa tahu berlari-lari Shuriah namanya kerana masa itu suatupun tiada khabarkan dirinya ada lagi kelebihan dalam rahim ibunya. Tatkala masa itu sudah cerdik, berjalan, berlari dan terus berkata-kata oleh kerana leka akan dunia, lupa ia pandangan yang dahulu dan lupa akan rasa.

Tatkala itu lupa akan dirinya maka masuklah kepada dunia ini, hilanglah ilmu itu sehingga datanglah kepada hari mati maka sekalian itu menunjukkan diri kita yang terperi itu ‘arodh jua segala guna yang ada ini tiada kekal ia pada kedua masuk bertambah dan kurang itu satu Alam Jasmani jua bukan Alam Ruhani. Artinya satu Alam Jasmani kedua Alam Ruhani itu tetap selama-lamanya tiada berubah dan tiada kurang daripadanya inilah diri kita terperi dengan segala peri mulia.

Kedua, adapun Diri Terperi tiada makan dan minum dan tiada beranak dan tiada beristeri dan tiada tidur dan tiada beribu dan tiada mati. Maka diri kita inilah dikurniakan ALLAH Ta’ala Sifat Dua Kali Tujuh. Maka dengan sifat inilah martabat diri kita yang terdiri kerana diri kita yang terdiri itu umpama sebuah perahu diperintah oleh nakhodanya, masing-masing perahu masing-masing nakhodanya. Adapun Sifat Dua Kali Tujuh yang dikurniakan ALLAH Ta’ala itu kepada Ruh yaitu Sifat Ma’ani dan Sifat Ma’nawiyah inilah dikurniakan ALLAH Ta’ala kepada Ruh kita supaya berkuasa ia memerintah jasad kita itu, semata-mata seperti wayang tiada punya perintah melainkan dengan perintah dalang jua. Dan adalah Ruh umpama pesawat, kerana dalang itu jika tiada pesawat nescaya tiada akan zahir hikmat dalang itu. Jangan terhenti memandang pesawatnya itu, maka hendaklah ma’rifat yang tahqiq kerana dalang itu tiada bercerai dengan wayang dan wayangpun tiada bercerai dengan dalang. Jikalau bercerai binasalah wayang tiada berketahuan lagi.

Demikianlah keadaan Tuhan dengan Hamba sentiasa tiada bercerai daripada Azali dan yang kepada Abadi. Inilah firman ALLAH Ta’ala “Wa Huwa Ma’akum Aina Maa Kuntum” artinya “ALLAH beserta kamu barang di mana ada kamu”. Artinya bertambah ada awal adalah ALLAH serta kita dan martabat Ta’yin Thani pun beserta kita. Maka ALLAH fardhukan kita jangan lalai daripada memandang serta Hamba dengan Tuhan daripada Azali datang kepada Abada adanya.

BAB EHWAL TATKALA TIDUR

Adapun tatkala kita tidur itu, hilang rasa kita sebab tiada diperintah Rahsia ALLAH. Maka jangan kita hendak berbagai-bagai, ingatkan diri pun tiada, hanya yang ada itu Hayat kerana Rahsia ALLAH itu jadi berkehendak kepada manusia dan segala binatang. Jika tiada Rahsia ALLAH dan Kehendak... ALLAH maka tiada Batin dan Zahirnya itu berkehendak berbagai-bagai.

Adapun ruh itulah bernama manusia yang bernama tubuh sekalian Auliya^ ALLAH Ta’ala. Maka ruh itulah tubuh Ahli Ma’rifat yang dapat berjalan batin dan yang dapat melihat batin. Yang demikian itu, ruh itulah melakukan perintah Rahsia ALLAH kepada orang yang sudah sampai ilmunya itu bertubuh akan Idhofi, bertubuh akan Muhammad adanya.

MARI MENGAJI A I U

Adapun dalil menyatakan Zat itu Huruf Alif Zat martabatnya Ahadiyat ertinya Esa Zat dengan Kebesaran jadilah Alif Di Atas (A), Alif Di Bawah (I), Alif Di Hadapan (U) dengan Kebesaran dan Kekayaan Zat. Maka tajallilah Sifat Asma^ dan Af’al. Dan sekalian ini Qadim keempat-empatnya. Dan Sifat, Asma^, Af’al.. Sifat pun Sifat Zat, Asma^pun Asma^ Zat, Af’al pun Af’al Zat, inilah erti Esa pada pihak Tanazzulnya . Dan pada pihak Taraqqinya Sifat, Asma^, Af’al ini terpulang kepada martabatnya Ahadiyat yakni Esa Zat semata-mata, Laa Ta’yin pun ia, Sir ALLAH pun ia. Inilah Asal Niat yang tiada huruf dan tiada suara jadilah Usholli artinya Aku Sembahyang Sifatnya Nafsi (Wujud ALLAH).

Adapun Alif Di Atas (A) dalil menyatakan Sifat Hurufnya di atas. Maka jadilah Lam Awal maknanya Sifat Asma^ Martabat Awal. Artinya nyata yang pertama tajalli Sifat ALLAH yang Nur Muhammad, A’yan Thabitah pun ia, Wujud Idhofi pun ia, Insan Kamil pun ia. Namanya inilah yang menanggung Nama ALLAH. Inilah Asal Fardhu yang sebenar-benar , maka jadilah ia Fardhu yang sebenar-benar Sifatnya Ma’ani.

Adapun Alif Di Bawah (I) itu dalil menyatakan Asma^ Hurufnya. Maka jadilah ia Lam Akhir maknanya yang bernama ALLAH. Martabatnya Ta’yin Thani yakni kenyataan kedua. Maka tajallilah Ruh Adam, dengan kelimpahan Ruh itulah yang menjadi Tubuh Adam. Dan daripada sesuatu huruf yang tiga martabatnya A I U, maka bermakna Alif Zat ALLAH, Alif Di Atas maka jadilah Lam Awal maknanya Sifat ALLAH, Alif Di Bawah jadilah Lam Akhir maknanya Asma^ ALLAH, Alif Di Hadapan jadilah Ha maknanya Af’al ALLAH, maka empat sifatnya. Alif Lam Lam Ha maka bernamalah ALLAH. Terhimpun Zat, Sifat, Asma^ dan Af’al, maka jadilah ALLAH Sifat Salbiah.

Adapun Alif Di Hadapan (U) itu dalil menyatakan Af’al Alam Ruh maka jadilah Ha. Maknanya Af’al martabat Alam Ruh Sifatnya Ma’nawiyah. Maka jadilah AKBAR. Maka dengan kiraaan kelimpahan Ruh itulah menjadi Tubuh Kita. Wallahu A’lam

BAB AF’AL

AF’AL hanya Ia semata-mata. Adapun arti Ia Wujud kita yang Batin hingga sampai kepada Zat ALLAH Ta’ala, maka dapatlah Asal (Asli). Adapun dikehendaki dengan Takbiratul Ihram itu seperti dalil “Tabdaala Ajsadu Bi Nuuri Robbiha” maksudnya “Tukarkan Cahaya Diri Kamu Dengan Cahaya Tuhan Mu”. Adapun murod tukar itu “Mautu Anta Qabla Muutu” artinya “Matikan Diri Kamu Sebelum Kamu Mati”. Adapun Syarat Mati itu memulangkan Umanah ALLAH yang diberi pinjam pada kita. Adapun yang dikatakan Umanah ALLAH itu Wujud kita yang Kasar memegang Amanah dan Wujud kita yang Batin yang mengAmanahkan Zat ALLAH Ta’ala. Maka Syarat memulangkan Umanah ALLAH itu, tatkala kita menghadapkan ALLAH Ta’ala itu hendaklah kita tarikkan nafas kita naik ke dalam Fu^ad kita sampai kepada Alam Qudsi dan Maqam Qabu Qausaini.

Adapun Alam Qudsi itu Ubun-Ubun dan Maqam Qabu Qausaini itu Antara Kedua Kening. Maka kita tahankan nafas kita hingga lenyap rasanya pada sekalian alam kita. Serta kita Niat “Hapus Wujudku Yang Kasar Kepada Wujudku Yang Batin Kepada Wujud Zat Hanya Zat Semata-mata" kepada syuhud kita. Maka hapuskanlah sekalian Sifat Basyariah diri kita ke dalam lautan yang bernama Bahrul Qadim hingga nyata sifat laut semata-mata yaitulah Laut ALLAH. Maka katakanlah ALLAHU AKBAR.

Setelah Fana sekalian keadaan diri kita maka nyatalah Baqa Tuhan semata-mata. Inilah yang dikatakan Syuhud (inilah yang kita Syuhudkan) hingga sampai kita Salam, jangan lalai kepada yang lain.

Adapun Syuhud itu Pandangan Mata Hati, Pengetahuan Nyawa dan Alam Nyawa. Sebenar-benar Alam Nyawa itu ialah Iman. Sebenar-benar Iman itu ialah Sir ALLAH dan sebenar-benar Sir ALLAH itu Cahaya Alam Sekalian Alam Zat ALLAH yang Tiada Berhuruf dan Tiada Bersuara, Wujud Yang Mutlaq sebenar-benar Tuhan Zat Wajibul Wujud. Inilah yang dinamai Syuhud dan inilah pakaian sekalian Anbiya' dan Auliya' ALLAH yang Arif Billah yang Kamil. Inilah Muqoronah Kamaliah namanya.

Barang siapa dapat memakai Muqoronah ini, jikalau kanak-kanak sekalipun usianya Tujuh Tahun maka dihukumkan ia Auliya'. Dipeliharakan ALLAH Ta’ala daripada sekalian azab dan di anugerahi akan ALLAH Ta’ala atasnya jasa matinya hingga sampai Kiamat seperti orang yang baru tidur pagi bangun petang. Demikian perasaannya dipeliharakan ALLAH Ta’ala dengan tubuhnya yang kasar tiada binasa kerana Nyawanya berdiam di dalam Jasadnya. Inilah sebabnya tiada binasa Jasad kerana Jasad itu Kamil dengan Nyawa itu Kamil dengan Tuhannya. Maka jadilah Kamil Mukammil.

BAB ZAT TUHAN YANG MUTLAQ

Inilah jalan kita mengi’tiqadkan Ketuhanan seperti dalil “WALLOHU Kulli Syai'in Muhiit” bahawasanya ALLAH Ta’ala itu Amat Rata yakni meliputi pada sekalian alam, pada Hayat, Ilmu, Qudrat, Iradat, Sama’, Bashor dan Kalam atas Tujuh petala langit dan Tujuh lapisan bumi yang di bawahnya serta antara kedua-duanya di luar dan di dalamnya. Dan batu pejal dan di dalam rongga Adam dan roma yang halus sekalipun, amat rata tiada lapang pada suatu pihak, inilah erti ‘Muhit’.

Dan lagi dalilnya, “La Tatarraku Zarrotan Illa Bi IzniLLAH” bahawasanya “Tiada bergerak walau sebesar habuk sekalipun melainkan dgn Izin ALLAH”. Dan lagi dalilnya “Laa Haula Wa Laa Quwwata Illa BiLLAH” maksudnya “Tiada daya upayaku melainkan dengan daya daya upaya ALLAH”. Dalilnya lagi “Fa Ainamaa Tuwallu Fa Thamma WajhaLLOH” artinya “Barang kemana-mana kamu hadapkan mukamu di sanalah ALLAH”. Maksudnya barang kemana pandanganmu hendaklah pandang ALLAH di dalamnya, jika kamu memandang keadaan diri kamu hendaklah pandang Keadaan ALLAH .

Jika kamu memandang kehidupanmu hendaklah memandang dengan Hayat Tuhan, jika kamu memandang pengetahuanmu hendaklah memandang Ilmu ALLAH, jika memandang kuasamu hendaklah dipandang Qudrat Tuhan. Jika kamu pandang kehendakmu hendaklah pandang Iradat Tuhan, jika kamu merasa pendengaranmu hendaklah diingat dengan Sama’ ALLAH. Jika kamu ucap zatmu hendaklah ucap dengan Kalam Tuhan. Dan lagi barang kemana pandanganmu, ALLAH di dalamnya artinya barang kamu pandang segala kejadian itu adalah yang menjadikan, jangan terhenti pada kata-kata itu pada sekalian yang jadi itu hingga sampai kepada yang menjadikan yakni Wajibul Wujud.

Wallahu A’lam Bis Showab.

Ikhsan dari sahabatku sangbogoroyo_007

10 comments:

arfan said...

Izin copas

Tok Latiff Mawar Nurullah said...

Dipersilakan... tuan

Unknown said...

Assalamua'laikum ijin nyimak dan mohon share tuan

Unknown said...

mohon izin mengaji

Tok Latiff Mawar Nurullah said...

Muga Barokah Amin

Unknown said...

Mohon izin baca dan amalkan ilmu tuan semoga tuan di Rahmati oleh Allah

Tok Latiff Mawar Nurullah said...

Menuntut Ilmu itu kewajipan, kefahaman, keyakinan itu Anugrahnya dan Muga barokah dunia dan akhirat buatMu

Unknown said...

Asssalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Saya hendak bertanya, apa yang dimaksud dengan dzikir khofi? Saya sudah cari ertinya, tapi tidak ketemu. Mohon bantuannya. terima kasih. Wassalam

Tok Latiff Mawar Nurullah said...

Waalaikummussallamun qaulam mir rabbir rahim.. Benar Sohabat Ahmad Dzulfikar kerana anda hanya meRASAiNya erti... Allah Humma Amin.

Unknown said...

Mohon penjelasannya. Saudara sy pernah mimpi ketika kecil diajari baca i ha lam alif hamzah iya. Dlm mimpi itu dijelaskan bahwa i itu adalah alif kasro. Seketika ada hawa masuk je dada. Aneh nya yg ngajari tdk terlihat namun hanya suara. Itu terjd ketika umur 15 thn. Dan sekitar 5 thn kemudian mimpi itu dtg lagi dgn versi berbeda. Dlm Mimpi yg ini ada cahaya merah yg menembus dahi kemudian dijelaskan bacaan td tp bukan i lagi melainkan alif ha lam alif hamzah iya. Maknanya apa yaa

Post a Comment