Bila Izrail Datang Memanggil - Antara Harap dan Takut Qada dan Qadar)


Diceritakan daripada Abdullah Al-Maushili radhiallahu-anhu, katanya: Di kampung kami ada seorang yang tongong, namanya Qadhib Al-Ban, ramai orang takut hendak menegur sapa kepadanya kerana kehebatan peribadinya. Dia juga suka menangis orangnya, bila teringat sesuatu dia kerap menangis, sikapnya sungguh pelik sekali.

Kebetulan sekali aku bertemu dengannya di suatu tempat yang terpencil, tiada seorang lain pun di situ, maka aku menggagahkan diri untuk bertanya sesuatu yang memang sudah terpendam lama di dalam hatiku, dan sekarang baru aku mendapat peluang untuk bertanya kepadanya :
 'Apa sebabnya kau suka sekali duduk bersendirian, tidak bercampur dengan orang ramai, dan selalu termenung saja?' kataku kepadanya.

Dia lalu merenung wajahku lama sekali, seperti dia mengingkari pertanyaanku itu. Aku pun terasa tidak senang juga, jika pertanyaanku itu boleh menyebabkan dia marah kepadaku. Tetapi rasa-rasanya pertanyaanku itu tidak ada apa-apa, mustahil boleh menyebabkan dia marah. Aku berdiam diri saja.

Setelah lama merenung wajahku itu, dia lalu menangis dengan kuat sekali. Ketika itulah wajahnya bertukar menjadi pucat lesi, seperti orang yang tiada berdarah Jagi, kemudian dia seperti lampu yang malap, lemah dan terus lemah, lalu jatuh pingsan, tidak sedarkan diri lagi.

Aku terkejut melihat keadaannya yang begitu ganjil sekali. Mengapa dia sampai pitam dan pingsan 'dari hanya suatu pertanyaan serupa itu, ataupun kerana sebab-musabbab yang lainkah? Aku tidak tahu. Aku cuba mengipas-ngipaskannya sehingga dia tersedar semula.

'Aku harap aku tidak buat sesuatu yang menjengkelkanmu!' ; kataku kepadanya. 'Harap kau tidak marah!' kataku lagi. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya, lalu menjawab: 'Tidak'.'

'Habis kenapa kaujadi pingsan?' tanyaku.
'Tidak ada apa-apa,' jawabnya.
'Tidak, harap beritahu, barangkali aku boleh menolong,' kataku lagi.

Dia enggan memberitahuku sesuatu pun, tetapi aku terasa ada sesuatu rahasia yang mahu dirahasiakan kepadaku, maka aku terus mendesaknya.

'Atas nama ALLAH, aku harap kau ceritakan sebabnya,' aku mendesaknya. 'Kalau kau memang mahu tahujuga, baiklah,' katanya sambil air matanya menitis sedih. Maka dia pun bercerita, katanya: Saudara! Saya telah berkhidmat kepada seorang syaikh selama empat puluh tahun, dan saya tahu dia antara wali Abdal. Dia sangat rajin beribadat, siang malam kerjanya tiada lain ialah berkhidmat kepada ALLAH Ta'ala semata.

Maka tiga hari sebelum dia meninggal dunia, dia memanggilku menghadapnya, seraya berkata:'"Wahai hamba ALLAH! Kau ada suatu tugas untukku. Dan aku pula ada suatu tugas untukmu! Dan supaya tugasmu sempurna, hendaklah kau mendengar baik-baik apa yang aku akan katakan kepadamu, dan kau laksanakan pula pesananku ini baik-baik!'

'Baiklah tuan!' jawabku kepadanya. 'Aku tetap menghormati pesananmu itu!'


'Hai anakku!' dia memanggilku 'anak' kerana aku sudah terlalu lama berkhidmat kepadanya, seperti anaknya sendiri. 'Usiaku tinggal tiga hari lagi, dan sesudah itu aku akan mati bukan dalam agama Islam!' Katanya.

Bila aku dengar dia akan mati bukan dalam agama Islam, aku terkejut. Aku tidak percaya apa yang dia katakan kepadaku itu. Maka terkeluar dari mulutku kata-kata ini: 'Ahh! Apa katamu??!!'

'Dengar dulu apa yang akan aku katakan ini!'


'Ya,' jawabku.


Dia lalu menyambung kata-katanya tadi: 'Aku akan mati bukan dalam agama Islam. Bila aku sudah mati, hendaklah kau letakkan mayatku di dalam peti lengkap dengan pakaianku, kemudian kau pikul peti itu di waktu malam ke luar bandar dan tunggu di situ hinggalah matahari terbit. Nanti akan datang di situ beberapa orang membawa peti yang lain, lalu dia akan letakkan peti itu di sebelah peti mayatku. Maka hendaklah kau ambil peti mayat itu dan bawa kembali ke sini. Kemudian kau keluarkan mayat yang ada di dalamnya dan uruskanlah atas mayat itu seperti kau menguruskan mayat orang Islam!' demikianlah pesanan orang yang dikatakan wali Abdal itu.

'Bagaimana boleh menjadi begini, hai tuan Syaikh?!' tanyaku kepadanya. 'Hai anakku! Inilah yang telah termaktub di dalam lauh mahfuzh. Itu adalah keputusan Tuhan, dan kita manusia tiada dapat berbuat apa-apa!' Jawabnya.

Selepas tiga hari dari dia menyampaikan pesanannya itu, aku lihat wali Abdal tadi berubah kulitnya sehingga kelihatan hitam wajahnya, dan tidak lama sesudah itu, dia berputar menghadap arah timur lalu jatuh dan matilah dia.

Aku terus menangis, dan hatiku teramat sedih sekali, hanya ALLAH sajalah yang tahu. Kemudian aku teringat akan pesanannya, maka aku letakkan mayatnya di dalam peti yang memang sudah aku siapakan. Apabila waktu malam tiba, aku pun memikul peti itu ke tempat yang diarahkan oleh wali Abdal itu. Aku duduk di situ sehingga matahari terbit. Maka dengan tiba-tiba aku lihat ada sekumpulan orang membawa peti yang lain, lalu diletakkannya di sebelah peti mayat tuan Syaikh itu.


Sebelum mereka akan mengangkat peti yang aku bawa itu, aku lalu menahannya, dan aku berkata kepadanya: 'Aku tak benarkan kau ambil peti ini sebelum kau beritahuku kisah pertukaran peti mayat ini!' Kataku.

Dia memandang wajahku, kemudian katanya: 'Baiklah!' katanya. 'Begini ceritanya!'. Aku sudah berkhidmat kepada tuan punya mayat di dalam peti yang aku bawa ini selama empat puluh tahun. Dan dia adalah seorang padri besar Kristian. Tiga hari dahulu sebelum dia mati, dia telah memanggilku, seraya berkata kepadaku:

'Hai anakku!' katanya. 'Kau ada suatu tugas untukku. Dan aku pula ada suatu tugas untukmu! Dan supaya tugasmu sempurna, hendaklah kau mendengar baik-baik apa yang aku akan katakan kepadamu, dan kau laksanakan pula pesananku ini baik-baik!'

'Baiklah,' jawabku.


'Hai anakku! Usiaku tinggal tiga hari lagi, dan aku akan mati dalam agama Islam. Bila aku sudah mati, letakkanlah mayatku di dalam sebuah peri lengkap dengan pakaianku, kemudian bawa dia waktu malam ke tempat ini, dan letakkannya di sebelah peti yang akan kau dapati di situ, dan kau ambil pula petiyang di sampingnya dan bawakannya ke gereja, dan uruskanlah mayat itu seperti kau uruskan mayat seorang Kristian.

"Tiga hari sesudah dia berpesan itu, wajah padri itu berubah riang sekali, dan dia telah mati di dalam Islam. Maka aku sekarang melaksanakan pesanannya dan aku membawanya ke mari.'

'Oh begitu jadinya!' kataku kepadanya.

Maka aku pun mengambil peti yang dibawa orang-orang itu, dan aku menyerahkan pula kepada mereka peti yang di dalamnya wali Abdal itu. Aku pun bawa mayat itu ke beranda Masjid. Bila aku buka peti itu, aku dapati mayatnya bercahaya. Aku keluarkannya dari peti itu, aku bukakan pakaiannya, lalu aku mandikan dan kafankan. Sesudah itu kami pun sembahyangkannya seperti kami lakukan terhadap mayat orang Islam, dan kemudian kami kuburkannya di pekuburan orang Islam.

Selepas peristiwa itu, aku terus menjadi seorang yang bingung dan tongong kerana mengingatkan orang yang aku berkhidmat kepada nya selama empat puluh tahun itu. Aku melihatnya sembahyang dan puasa dan melakukan berbagai-bagai ibadat siang dan malam, dan akhirnya dia telah menemui ajalnya dalam suul-khatimah.
'Inilah yang menjadikan fikiranku terganggu, dan aku sangat takut atas diriku kalau aku pula menjadi seperti itu, moga-moga Tuhan jauhkannya. Aku terus berjalan setiap hari untuk memohon kepada ALLAH akan mengakhiri hayatku dengan husnul-khatimah. Aku berlindung diri kepadaNya daripada tipudaya hidup dan dari kemurkaan ALLAH dan siksaanNya!

No comments:

Post a Comment